Rakyat Protes Kepada Pimpinan Politik, Bukan Raja, Negara, Kata Mukhriz

KUALA LUMPUR, 22 Jul 25 – Himpunan dan demonstrasi dianjurkan hujung minggu ini adalah cara rakyat menunjukkan protes terhadap kepimpinan politik dalam kerajaan, kata Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata, himpunan aman itu bukan tanda protes dan bantahan rakyat kepada negara dan raja dan tidak harus disalah erti sebagai tidak mendukung prinsip Rukun Negara.

“Jikalau kepimpinan politik yang menerajui kerajaan dilihat menyeleweng, maka menjadi tanggung jawab semua pihak, termasuk penjawat awam, untuk bersuara bagi membetulkan keadaan.

“Itu juga adalah tanggungjawab patriotik penjawat awam, kerana mereka tidak boleh membenarkan atau melibatkan diri dalam sebarang penyelewengan dalam kerajaan,” katanya, kepada politiko.my.

Mukhriz berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengingatkan penjawat awam untuk tidak menyertai acara himpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.

Shamsul Azri berkata, adalah tidak wajar untuk penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.

Mukhriz sebaliknya berkata, penjawat awam juga mempunyai hak bersuara sebagaimana hak rakyat Malaysia yang lain.

“Sebagai rakyat Malaysia, penjawat awam juga berhak bersuara melalui demonstrasi aman bagi menyatakan protes terhadap kepimpinan politik dalam kerajaan semasa.

“Tindakan itu sepatutnya tidak disalah erti sebagai tindakan tidak mendokong prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya.

Namun, bekas menteri besar Kedah berkata, pihaknya juga sedar tindakan yang akan dihadapi penjawat awam sekiranya mereka didapati menyertai himpunan tersebut disebabkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertolak ansur dengan sebarang kritikan terhadap kerajaannya.

Mukhriz bagaimanapun memberi jaminan penganjur dan peserta himpunan tetap menyokong penjawat awam.

“Namun, oleh sebab kepimpinan Anwar kebelakangan ini mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang kritikan, dan dilihat mengambil tindakan keras terhadap pengkritik, maka kami faham jika penjawat awam berasa takut untuk menyertai demonstrasi aman yang akan dianjurkan pada 26 Julai ini.

“Apa jua keputusan mereka berkenaan penyertaan demonstrasi ini, kami tetap akan mempertahankan hak mereka untuk menegakkan kebenaran,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share