
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 25 — Pemilihan calon perdana menteri merupakan isu besar dengan hanya Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) berhak mengumumkannya.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan, tanpa pengumuman rasmi daripada Majlis Tertinggi PN, mana-mana kenyataan mengenai calon perdana menteri hanyalah pandangan peribadi.
“Berkaitan dengan sesiapa sahaja yang akan dicalonkan sebagai calon perdana menteri, itu adalah keputusan Majlis Tertinggi PN. Maka selagi mana Majlis Tertinggi PN belum umumkan apa-apa, tak adalah dari sudut PN,” katanya, seperti laporan MalaysiaGazette.
Penentuan calon perdana menteri gabungan pembangkang itu hanya dilaksanakan diperingkat tertinggi.
“Kita kena faham bahawa apa-apa saja keputusan berkaitan dengan calon perdana menteri, keputusan-keputusan besar ini perlu dibawa dan dibincangkan di Majlis Tertinggi PN.
“Selagi mana tidak ada sebarang keputusan daripada Majlis Tertinggi PN, itu pandangan masing-masing tetapi umumnya secara rasminya adalah daripada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya.
Ketua Pemuda PN, Afnan Taib Azamudden sebelum ini dilapor berkata, PN mempunyai beberapa nama calon perdana menteri yang akan diumumkan pada waktu sesuai sekaligus mencetuskan spekulasi politik.
Beliau antaranya menamakan Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Datuk Idris Ahmad.
Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut dinamakan dengan satu-satunya calon dari parti itu. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.