
KUALA LUMPUR, 21 Jul 25 – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi layak mentadbir sebagai perdana menteri kerana banyak kepincangan dilakukan berbanding janji manis Reformasi yang dilaungkannya dahulu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, Anwar kini melakukan segala tuduhan terhadapnya seperti kronisme dan nepotisme dihadapan mata rakyat tanpa segan silu.
“Selain itu, Anwar sudah tidak layak jadi perdana menteri kerana ianya terlalu kerap membohong. Tidak ada yang betul keluar dari mulutnya. Dulu janji Reformasi. Kini sudah jadi bahan jenaka dan rakyat rata-rata kata sudah ‘dikencing’ dengan penipuan.
“Hari ini di depan mata kita dia amal nepotisme dan kronisme. Dulu dia tuduh saya tanpa sebarang bukti. Bila ia amalkan, bukti jelas di depan mata,” kata Dr Mahathir dalam hantaran di media sosial.
Rakyat juga hari ini membangkitkan kesahan pengampunan Anwar, sekaligus mencetus persoalan berkenaan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya umum, kata Dr Mahathir.
“Sekarang persoalan timbul sama ada ia layak bertanding dalam PRU. Ini kerana terdapat kekeliruan berkenaan pengampunan Anwar, ada kemungkinan pengampunannya tidak sah.
“Anwar diberi ampun semasa saya jadi perdana menteri kali kedua. Saya lakukan seperti dinasihat. Saya percaya ianya betul pada masa itu.
“Tetapi sekarang ada yang timbul berkenan kesahihan pengampunan Anwar ini. Rakyat berhak untuk selesaikan kekeliruan ini,” tegas negarawan itu lagi
Jelasnya, rakyat tidak memilih Anwar untuk menjadi perdana menteri sebaliknya melalui sokongan beberapa parti dia berjaya dilantik ke jawatan itu.
“Sebenarnya Anwar bukan dipilih oleh rakyat untuk jadi perdana menteri. Dia kalah.
“Tetapi dengan cantuman dengan parti yang juga kalah dia berjaya mendapat cukup bilang untuk diri kerajaan,” tambahnya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.