Ibrahim Ali Dakwa Lawatan Trump Ke Malaysia Hanya Untuk Promosi Diri PMX

KUALA LUMPUR, 4 Okt 25 — Presiden Parti Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali, mendakwa lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia pada Oktober ini tidak memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya untuk kepentingan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan medianya, Ibrahim menegaskan bahawa alasan kerajaan kononnya Trump hadir atas jemputan Sidang Kemuncak ASEAN hanyalah untuk meredakan kemarahan rakyat, selepas sebelum ini Perdana Menteri memberi gambaran lawatan itu dibuat atas jemputan peribadi.

“Saya yakin tujuan jemputan Trump ke Malaysia oleh PMX adalah untuk mempromosi dirinya, sanggup menggadaikan prinsip dan maruah. Kehadiran Trump tidak membawa kebaikan kepada rakyat kecuali menghabiskan wang negara,” katanya.

Ibrahim juga mendakwa Anwar terlalu teruja dengan Trump kerana Presiden AS itu tiga kali menyebut “Anwar, you are fantastic” dalam perbualan telefon mengenai isu konflik Thailand dan Kemboja.

Beliau mempersoalkan sama ada kedatangan Trump akan memberi sebarang kelebihan dari sudut ekonomi atau geopolitik kepada Malaysia dan ASEAN, termasuk isu tarif 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat, serta desakan menghentikan sokongan kepada Israel.

“Kalau resolusi PBB, desakan OIC, dan kecaman rakyat dunia pun tidak diendahkan, apakah Trump akan dengar desakan ASEAN? Kelakar,” ujarnya.

Ibrahim turut menggelar Trump sebagai “serigala penjenayah perang” yang bersekongkol dengan Israel dalam serangan ke atas Gaza, sambil menyifatkan tindakan kerajaan membawa Trump ke Malaysia bercanggah dengan pendirian mengutuk kezaliman Zionis.

Beliau menambah, tindakan kerajaan menjual saham MAHB kepada BlackRock serta pembelian pesawat Boeing bernilai berbilion ringgit menunjukkan dasar pentadbiran Anwar bercanggah dengan kenyataan menentang kezaliman Israel.

“Kutuk kezaliman tapi jilat kezaliman. Saya bingung dan stress,” katanya dalam kenyataan itu.

Ibrahim menutup kenyataannya dengan doa agar Malaysia dilindungi daripada dasar kerajaan yang dianggapnya merugikan rakyat.

Jemputan ke atas Trump pada sidang kemuncak ASEAN mengundang kritikan pelbagai pihak dengan gesaan untuk membatalkan jemputan tersebut. Namun Perdana Menteri bertegas bahawa jemputan ke atas Trump adalah langkah strategik dan penting dalam menyuarakan masalah Palestin secara bersemuka. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share