
KINABATANGAN, 26 NOV 25 — Perikatan Nasional (PN) menggesa pengundi memilih pemimpin tempatan, Hj Mazlin Madali yang diletakkan sebagai calon bagi kerusi N.58 Lamag yang menjanjikan kepimpinan baharu berasaskan rekod perkhidmatan dan akar umbi di daerah itu.
Hj Mazlin, anak jati Lamag, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai imam Masjid Besar Daerah Kinabatangan, dan disifatkan PN sebagai calon yang dekat dengan masyarakat serta memahami isu setempat.
Dalam siri kempen di Lamag, Pengarah Pilihan Raya PN Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan bahawa PN bertekad akan menyemak semula beberapa keputusan kerajaan negeri berkaitan projek sumber asli, khususnya melibatkan kawasan mineral.
Hamzah mendakwa wujud kawasan seluas 70,000 hektar yang telah diberikan hak mineralnya kepada pihak tertentu di bawah kerajaan sedia ada. Beliau berjanji bahawa sekiranya PN diberi mandat, semua dokumen dan kelulusan akan diteliti semula.
“Apabila kita menang nanti, kita tengok balik dokumen-dokumen yang kerajaan hari ini lakukan. Kalau ada kesalahan, kita ambil mereka, kita sumbat mereka di satu tempat.
Boleh? Setuju? Kalau setuju, undi Perikatan!” katanya di hadapan penyokong.
Pengumuman itu menandakan kempen PN di Lamag memasuki fasa lebih agresif dengan tumpuan kepada isu pengurusan sumber dan integriti pentadbiran negeri.
Rakyat Sabah akan membuang undi pada 29 November ini. PRN ke 17 diadakan selepas kerajaan negeri mengumumkan pembubaran dewan pada 6 Oktober lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.