“Ini Bukan Isu Kehakiman”, Peguam Persoal Integriti Pelantikan Terrirudin ke JAC

KUALA LUMPUR, 6 DIS 25 — Peguam kanan, Haniff Khatri, hari ini mengulas kenyataan Ketua Hakim Negara berhubung pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), dengan menegaskan bahawa walaupun pelantikan itu memang kuasa mutlak Perdana Menteri, isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah persoalan integriti.

Menurut Haniff, tidak ada sesiapa boleh mencabar pelantikan Terrirudin kerana undang-undang jelas memberi prerogatif penuh kepada Perdana Menteri.

“Siapa yang nak cabar memang antara golongan yang dipanggil bodoh,” katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa persoalan integriti Terrirudin tidak boleh diketepikan hanya kerana kuasa melantiknya adalah sah.

“Bila dia sendiri mempunyai isu integriti, persoalannya ialah bagaimana beliau dapat menjalankan tugas sebagai ahli JAC, iaitu badan yang menilai integriti calon-calon hakim atau calon kenaikan pangkat hakim,” kata Haniff.

Beliau menambah bahawa kedudukan seorang ahli JAC membawa implikasi langsung terhadap penghormatan sistem kehakiman terhadap proses pelantikan dan kenaikan pangkat selepas ini.

Haniff juga menegaskan bahawa kritikan bukan bertujuan menilai sejarah lama Terrirudin sebagai Peguam Negara, tetapi konteks berubah apabila beliau kini berada dalam JAC.

“Kalau dia bukan ahli JAC, kita tak akan menilai sejarah itu. Tetapi kerana pelantikan hakim dan kenaikan pangkat akan melalui JAC, maka sejarah itu jadi relevan.”

Beliau menjelaskan bahawa dalam penilaian terhadap prestasi kehakiman Terrirudin sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, pandangannya selari dengan Ketua Hakim Negara bahawa prestasi dan penghakiman di mahkamah yang harus dijadikan penanda aras.

“Itu saya setuju. Tapi ini bukan soal isu kehakiman dia. Ini soal ke-JAC-an dia — itu lain,” tegas Haniff. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share