
KUALA LUMPUR, 19 Jul 25 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti di kalangan parti pembangkang.
Namun begitu, daripada senarai kehadiran yang dinyatakan Muhyiddin, PAS dilihat tidak mempunyai wakil yang hadir dalam pertemuan tersebut.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, cadangan penubuhan barisan rentas parti itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.
“Semua yang hadir telah memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan ini.
“InsyaAllah, saya akan membawa pandangan-pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang,” katanya dalam kenyataan ya g dimuat naik di media sosial.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata, Bersatu sedang mempelopori kerjasama blok pembangkang dikenali sebagai Barisan Pembangkang Bersatu (United Opposition Front) dengan membentuk persefahaman antara parti diluar gabungan kerajaan.
Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu juga bersetuju usaha itu adalah bagi membincangkan dan mengambil pendirian bersama dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut memaklumkan senarai pemimpin parti yang hadir, antaranya termasuklah Timbalan Presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Punithan Paramsiven, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan Presiden Putra Datuk Ibrahim Ali.
Turut hadir termasuklah pemangku presiden Muda Amira Aisya dan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.
Selain itu, pertemuan tersebut turut dihadiri Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Sathiah Sudakaran, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Zamani Ibrahim, Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy, dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.