
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Peningkatan hasil negeri dan kestabilan politik Sarawak mencetuskan rasa iri hati sehingga menyebabkan berlakunya pertikaian antara syarikat petroleum nasional, Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kemajuan pesat yang dicapai Sarawak menarik perhatian negatif daripada pihak tertentu yang tidak senang melihat kejayaan negeri itu.
“Itulah sifat manusia. Bila seseorang atau sesebuah negeri berjaya, akan ada yang mula cemburu. Hasil Sarawak telah meningkat dengan ketara,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post dalam satu majlis di Bau, Sarawak.
Menurutnya, ada pihak mula memainkan sentimen seperti ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’ semata-mata untuk menimbulkan kekeliruan dan perpecahan.
“Apabila ekonomi Sarawak melonjak, pihak yang tidak ada kerja lain mula mainkan isu-isu seperti ini. Sebab itu saya perlu tangani isu antara Petronas dan Petros dengan bijak,” tegasnya.
Abang Johari turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan hak dan kepentingan negeri demi masa depan rakyat Sarawak.
“Saya akan terus mempertahankan apa yang menjadi hak Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, Sarawak kini mampu mengutip hasil melebihi RM15 bilion berkat daripada perpaduan rakyat, usaha gigih serta kestabilan politik yang kukuh.
“Kita bersatu, kita bekerja keras dan politik kita stabil. Tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang kadang-kadang agak kucar-kacir. Itu masalah mereka, bukan masalah kita,” katanya.
Tambah beliau, kemajuan Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat negeri itu, tetapi juga kepada seluruh negara.
“Kalau Sarawak maju, Malaysia pun akan maju. Sebab itu penting kita urus ekonomi dengan bijak dan kekalkan perpaduan. Inilah kekuatan sebenar Sarawak,” katanya. @sumber