Jawab Dengan Fakta, Bukan Guna Saman Tutup Kritikan, Kata Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR, 29 Mei 25 – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyelar tindakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana memilih pendekatan undang-undang berbanding memberikan penjelasan terbuka berhubung isu kelewatan dan kelemahan pinjaman Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau menyifatkan tindakan Asyraf Wajdi yang memilih untuk mengambil tindakan saman susulan kritikan terhadap pengurusan pinjaman TVET sebagai langkah tidak wajar, kerana ia melibatkan aduan dan keluhan rakyat yang perlu dijawab dengan fakta, bukan ugutan undang-undang.

“Kritikan yang saya suarakan adalah suara rakyat – ibu bapa dan pelajar yang buntu dan kecewa dengan ketidaktentuan masa depan pendidikan mereka.

“Saya suarakan bukan atas kepentingan peribadi, tetapi sebagai Ahli Parlimen yang diberi amanah oleh rakyat. MARA adalah institusi rakyat, maka ia sepatutnya bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Mas Ermieyati sebelum ini mengemukakan beberapa persoalan terbuka kepada Asyraf Wajdi berhubung status permohonan pinjaman pengambilan Mac 2025, bantuan TESP yang didakwa tiada untuk tahun ini serta dakwaan perbelanjaan jelajah domestik dan antarabangsa melibatkan beliau.

“Adakah permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan Mac 2025 secara dalam talian masih belum dibuka? Jika ya, kenapa dan bila akan dibuka semula?

“Bilakah isu pinjaman pelajar TVET MARA akan diselesaikan? Benarkah tiada bantuan TESP pada tahun ini?

“Selain itu, adakah jelajah ke seluruh negara dan luar negara oleh Asyraf Wajdi dan rombongannya menggunakan dana awam? Jika benar, berapa jumlahnya dan siapa yang turut serta?” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa kecewa kerana tindakan undang-undang yang dikatakan akan diambil ke atasnya turut melibatkan peguam lantikan MARA, sedangkan agensi tersebut sepatutnya memfokuskan kepada usaha membela kebajikan pelajar dan institusi, bukan bertindak menyaman pengkritik demi menjaga imej peribadi.

“Ini bukan soal ego politik, tetapi soal masa depan anak bangsa. Jangan sesekali gunakan dana rakyat untuk menutup suara rakyat,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam masa terdekat.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Asyraf Wajdi meluahkan kekecewaan terhadap tuduhan yang menurutnya bertujuan untuk memburukkan imej institusi Melayu-Bumiputera itu.

Mas Ermieyati menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan sebarang ugutan saman dan akan terus bersuara demi kepentingan pelajar-pelajar bumiputera dan pembangunan pendidikan negara.

“Saya tidak akan gentar dengan ugutan saman. Saya bersedia hadapi apa jua medan termasuk di mahkamah, jika itu pilihannya.

Ini demi pelajar-pelajar TVET, demi rakyat Malaysia dan demi negara yang saya cintai,” ujarnya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share