Isham: Tiga Kekalahan Berturut-turut Bukti Anwar Hilang Mandat

KUALA LUMPUR | 3 Ogos 26 – Bekas Ketua Penerangan UMNO, yang kini Ahli PAS, Isham Jalil mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kehilangan mandat rakyat selepas kekalahan berturut-turut yang dialami parti pimpinan Perdana Menteri itu dalam beberapa siri pilihan raya negeri.

Berucap dalam satu ceramah, Isham berkata keputusan pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan rakyat semakin menolak kepimpinan kerajaan persekutuan.

“Di Sabah dia kalah. Di Johor dia kalah. Dan di Negeri Sembilan pun kalah. Lepas ini kita akan teruskan ke Melaka,” katanya dalam satu ceramah di Bagan Serai, semalam.

Menurut beliau, kekalahan tersebut tidak boleh lagi dianggap sebagai isu tempatan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan semakin merosot.

“Saya tak rasa dia ada mandat lagi daripada rakyat. Sebab itu saya ingin sarankan kepada Datuk Seri Anwar supaya sama ada letak jawatan atau bubar Parlimen, sebab dia tak ada lagi mandat,” katanya.

Isham turut mendakwa kerajaan tidak seharusnya diberikan tempoh sehingga tamat penggal pentadbiran memandangkan Perdana Menteri masih mempunyai kuasa untuk membentangkan dua lagi belanjawan negara.

Katanya, setiap kali kerajaan membentangkan belanjawan, jumlah perbelanjaan yang terlibat mencecah kira-kira RM400 bilion, termasuk puluhan bilion ringgit untuk projek pembangunan.

“Kalau kita tunggu satu tahun lebih lagi, maksudnya kita bagi dia kuasa untuk pegang duit kita.

“Setiap kali dia buat belanjawan, dia belanja RM400 bilion. Daripada RM400 bilion ini, belanja projek sahaja RM60 bilion.

“Kalau kita bagi dia kuasa untuk menentukan belanjawan dua kali lagi, maksudnya kita bagi dia belanja RM120 bilion hingga RM140 bilion lagi,” katanya.

Isham juga mendakwa PKR gagal menunjukkan prestasi yang memberangsangkan meskipun parti itu dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai kelebihan dari segi jentera dan sumber kerajaan.

“PKR bertanding semua kalah. Parti Perdana Menteri yang mempunyai sumber yang besar dan kuasa yang besar, bertanding di tiga negeri, kalah teruk,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu sepatutnya menjadi isyarat kepada kerajaan bahawa keyakinan rakyat terhadap kepimpinan sedia ada semakin menipis.

Dalam masa sama, Isham turut memuji pendekatan kerjasama antara PAS dan UMNO yang menurutnya menjadi faktor penting kepada perubahan landskap politik di beberapa negeri.

Katanya, model kerjasama itu bukan sahaja berjaya membuka jalan kepada pembentukan kerajaan baharu di Negeri Sembilan, malah berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Apabila PAS dan UMNO bekerjasama lagi untuk PRU16, 120 kawasan ini kita boleh menang semua dan kita boleh membentuk kerajaan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share