
KUALA LUMPUR, 12 Ogos 25 — DAP dilihat mempertahankan sebuah kedai di Pulau Pinang yang memasang Jalur Gemilang terbalik dengan meletakkan bendera gergasi di premis tersebut.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, parti itu juga akan mengedar 831 helai Jalur Gemilang sekiranya ada mana-mana pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis tersebut.
“Jika ada sesiapa yang cuba mengganggu ketenteraman di premis tersebut, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut mereka dengan mengedarkan 831 Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda perpaduan sempena (Hari Kebangsaan) pada 31 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Pengangkutan itu berkata, DAP juga akan menggerakkan ahlinya di Pulau Pinang bagi mempertahankan premis tersebut sekiranya diganggu.
Loke yang juga ahli Parlimen Seremban menyifatkan ugutan untuk mengadakan protes di depan kedai tersebut sekiranya tidak ada pendakwaan dalam masa terdekat adalah tindakan buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Bukan sahaja tindakan buli di sekolah perlu ditentang, tindakan buli terhadap warga emas juga perlu dibantah sekeras-kerasnya.
“Namun, untuk menangani pihak yang kurang matang seperti ini, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara yang aman dan beradab,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.