Isu 40% Hasil Sabah: Anwar Nafi Rayuan AGC Kerana PRN Sabah

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan faktor yang mempengaruhi tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan separa terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40% hasil negeri itu.

Menurut Anwar, kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, namun terdapat beberapa perkara dalam alasan penghakiman yang perlu diperbetulkan melalui proses rayuan.

“Tidak, bukan kerana PRN. Kita terima keputusan itu, tetapi ada isu dalam alasan penghakiman yang perlu diperjelas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis, hari ini.

Beliau berkata langkah itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan yang turut dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Banyak mesyuarat berlangsung di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Semua dibincang dengan teliti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah akan diadakan pada 29 Nov ini.

Selasa lalu, AGC memutuskan kerajaan tidak akan merayu keputusan mahkamah yang mengesahkan hak negeri Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan yang dipungut dari negeri tersebut.

Namun AGC menjelaskan kerajaan akan mencabar beberapa “kecacatan” dalam alasan penghakiman, termasuk bahagian yang menuduh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sejak 1974 melakukan kesilapan besar.

Anwar sebelum ini dilapor berkata bahagian itu perlu dirayu kerana tidak adil menyalahkan semua pentadbiran terdahulu, termasuk kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein serta kerajaan Sabah ketika era Tun Mustapha Harun dan Tun Fuad Stephens.

Beliau turut menegaskan rundingan berhubung tuntutan 40% hasil itu akan diteruskan walaupun Sabah kini ditadbir kerajaan sementara.

“Perbincangan teknikal sedang berjalan, keputusan utama dibuat selepas pilihan raya,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share