
KUALA LUMPUR | 29 Jan 26 — Percanggahan terbuka antara PAS dan Bersatu berhubung isu penstrukturan Perikatan Nasional (PN) mencetuskan kebimbangan bahawa gabungan pembangkang itu sedang berdepan risiko kehilangan momentum politik ketika persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) semakin hampir.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, penafian PAS terhadap dakwaan berkaitan pemansuhan jawatan Pengerusi PN mendedahkan kelemahan serius dalam aspek penyelarasan komunikasi antara parti-parti teras gabungan itu.
“Isu ini kelihatan luar biasa kerana PAS dan Bersatu selama ini dilihat sangat akrab. Apabila satu pihak membuat dakwaan dan pihak lain pula menafikannya secara terbuka, ia memberi gambaran seolah-olah tiada koordinasi yang jelas dalam PN,” katanya kepada politiko.
Menurut Mazlan, isu penstrukturan bukan sekadar melibatkan soal organisasi, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap hala tuju dan kepimpinan PN secara keseluruhan. Kegagalan mengurus perbincangan dalaman dengan tertib boleh menghakis keyakinan penyokong terhadap keupayaan gabungan itu untuk berfungsi secara kolektif.
Beliau berkata, situasi tersebut menjadi lebih membimbangkan kerana PN kini berada dalam fasa kritikal persediaan awal menuju PRU16 yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun.
“Sepatutnya PN memberi tumpuan kepada pembinaan naratif bersama dan penyusunan strategi pilihan raya. Sebaliknya, episod dakwa-menafikan ini membuka ruang kepada persepsi negatif terhadap kestabilan dalaman gabungan,” ujarnya.
Mazlan turut mengingatkan bahawa kegagalan menyelesaikan perbezaan pandangan antara PAS dan Bersatu secara berhemah berpotensi mencetuskan perpecahan yang lebih luas, bukan sahaja antara parti-parti gabungan, malah dalam Bersatu sendiri.
“Terdapat petunjuk wujudnya ketidakpuasan hati dan persaingan dalaman dalam Bersatu. Jika konflik luaran dan dalaman ini bertembung, ia boleh menjejaskan fokus serta kekuatan organisasi parti,” katanya.
Tambah beliau, keadaan politik yang tidak harmoni dalam PN boleh memberi kesan langsung terhadap peluang gabungan itu untuk menampilkan diri sebagai alternatif kerajaan yang diyakini rakyat.
“Momentum politik sangat penting menjelang pilihan raya. Jika PN gagal mengurus isu dalaman dengan baik, ia berisiko kehilangan kepercayaan pengundi dan seterusnya menjejaskan peluang pada PRU16,” katanya.
Semalam, Presiden PAS dalam satu surat menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhyiddin bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah dimansuhkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.