Isu Bahasa : Bagai Mencurah Air Di Daun Keladi

Di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Namun di lapangan, realitinya tampak berbeza.

Fenomena papan tanda awam yang mengabaikan Bahasa Melayu masih berlaku, terkini di kawasan Port Dickson. Ini bukan sekadar pelanggaran garis panduan pihak berkuasa tempatan, malah ia mencerminkan kegagalan kumpulan tertentu dalam memahami dan memelihara identiti nasional.

Bagi ramai warga tempatan, papan tanda yang mengabaikan bahasa Melayu mencipta jurang simbolik — seolah-olah bahasa ini hanya sesuai untuk dokumen rasmi dan upacara kenegaraan, tetapi bukan untuk ruang awam moden.

Di atas kertas, pelbagai undang-undang dan garis panduan menyokong penggunaan bahasa Melayu:

Akta DBP 1959 (Pindaan 1995), Garis Panduan PBT mengenai papan tanda dwibahasa, Arahan Jemaah Menteri 2006 mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi.

Namun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya memiliki kuasa memberikan teguran dan nasihat — tanpa taring penguatkuasaan. Ha ini telah banyak disuarakan oleh masyarakat awam. Namun keadaan belum nampak apa-apa perubahan. Seolah-olah ini perkara remeh.

Ketika persepsi terhadap mana-mana usaha memperkasakan Bahasa Melayu dianggap sensitif atau “anti pelabur asing,” kerajaan dalam aspek penguatkuasaabn dilihat terlalu berhati-hati atau lembap — hingga gagal menegaskan pendirian. Akibatnya, dasar bahasa negara menjadi lemah, tidak konsisten, dan sering dikompromi. Yang disalahkan, agensi seperti DBP.

Masalah ini akan memberi kesan psikologi seperti rakyat terasa asing di tanah air sendiri. Erosional (terhakisnya) identiti nasional iaitu Bahasa Melayu hilang relevansi sebagai bahasa niaga dan komunikasi awam. Jurang ini suatu hari nanti akan menyebabkan ketidaktenteraman awam.

Selain menggesa kerajaan meminda Akta DBP untuk memberi kuasa ‘pengutkuasaan’, pihak agensi lain seperti Kerajaan Tempatan juga harus mengemaskini dan membuat audit menyeluruh berkaitan pematuhan papan-papan tanda jalan termasuk premis perniagaan.

Ini perlu dibuat secara berkala untuk memastikan pemeliharaan identiti nasional ini terus diberi perhatian. Malah kempen kesedaran penggunaan Bahasa Melayu atau Malaysia ini perlu lebih kreatif untuk membina minat rakyat tak kira kaum.

Papan tanda mungkin tampak kecil, tetapi implikasinya besar. Ia mencerminkan apakah bahasa Melayu benar-benar menjadi tunjang dalam kehidupan bernegara — atau sekadar simbol upacara rasmi yang plastik.

Pelbagai nasihat dan amaran diberikan, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi.

Jika bahasa pun kita tidak mampu pertahankan, apatah lagi semangat bangsa Malaysia?  Bagaimana pula isu-isu yang lebih besar yang melibatkan maruah negara? @analitiko

Bahasa Jiwa Bangsa.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share