Zahid Hamidi: Panglima Tanpa Pedang, Presiden Tanpa Arah

Oleh : Dark Horse

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tetapi kuasa tanpa kredibilitinya hanyalah seperti bendera di tiang reput yang menunggu masa untuk patah dan rebah.

Dalam politik Malaysia yang ramai semakin cerdik, Zahid bukan sahaja dilihat gagal menjadi penyatu ahli UMNO, malah sifat egonya semakin menyerlah mengatasi kepentingan partinya.

Setiap kali Zahid muncul di pentas politik, beliau bukan membawa harapan baru, tetapi mengingatkan kita pada segala yang cuba ditinggalkan oleh rakyat—rasuah, kronisme, politik suku-sakat.

Walaupun kes mahkamahnya ada yang digugurkan, bayang-bayang ‘kluster mahkamah’ tetap melekat erat. Zahid mungkin bebas di sisi undang-undang, tapi dalam mahkamah persepsi rakyat, beliau kekal dilihat tidak bersih.

Di bawah Zahid, UMNO semakin hilang taring. Malah boleh dikatakan UMNO kini lebih mirip NGO veteran Melayu daripada sebuah parti politik nasional.

Akar umbi bercelaru, pengundi muda menjauh, dan kerusi pun semakin menghilang satu demi satu. Zahid memimpin seolah-olah UMNO itu syarikat warisan yang diwariskan kepadanya—bukannya gerakan politik yang perlu dihidupkan semula.

Kepimpinan Zahid juga terkenal dengan kebolehan berpusing 360 darjah dalam masa singkat. Hari ini lawan, esok kawan, lusa entah siapa pula.

Beliau menyokong Muhyiddin, kemudian jatuhkan; tolak Anwar, kemudian rangkul, tolak DAP kemudian berpelukan.

Dalam dunia politik, strategi itu perlu. Tapi jika terlalu kerap U-turn, akhirnya orang tak nampak hala tuju—mereka cuma nampak pemandu yang sesat.

Zahid masih terperangkap dalam gaya politik tahun 90-an—ucapan panjang berjela, bahasa tinggi yang kosong isi, dan sentimen kepartian yang berulang-ulang.

Dalam dunia digital yang memerlukan komunikasi pantas, padat dan tulen, beliau masih sibuk bercerita tentang jasa UMNO zaman dahulu. Maaf, orang muda sekarang lebih kenal nama YouTuber dari nama Menteri.

Sebagai TPM, Zahid sepatutnya menonjol sebagai watak utama dalam kerajaan. Tapi kehadirannya hambar, kenyataannya kurang berkesan, dan prestasi kementerian yang dipegangnya jarang meniti di bibir rakyat.

Beliau lebih banyak diam, mungkin kerana tahu—semakin banyak bercakap, semakin terserlah betapa jauhnya beliau dari realiti rakyat.

Zahid Hamidi ialah contoh klasik bagaimana pemimpin boleh terus berada di puncak tanpa benar-benar memimpin.

Beliau mewakili politik lama yang tidak tahu jalan pulang, meski rakyat sudah lama mengangkat tangan minta perubahan.

Selagi UMNO tidak berani melepaskan cengkaman watak-watak seperti ini, parti itu akan terus menjadi kapal bocor yang nakhodanya pun tahu kapal akan karam, tapi masih buat-buat berlayar. Inilah namanya — panglima tanpa pedang, presiden tanpa arah. @suratpembaca

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share