
KUALA LUMPUR, 13 Sept 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan bahawa program matrikulasi perlu terus diperkasakan kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih adil, khususnya untuk pelajar luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
Naib Canselor UiTM, Prof Dr Shahrin Sahib berkata, isu yang membabitkan program matrikulasi tidak seharusnya dipertikai kerana ia berkait rapat dengan usaha negara menyediakan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.
“Program matrikulasi bukan semata-mata soal kelayakan akademik, tetapi lebih kepada menyediakan akses yang saksama dan peluang yang adil untuk pelajar yang datang daripada pelbagai latar sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, perdebatan mengenai matrikulasi sering kali terperangkap dalam naratif meritokrasi semata-mata, sedangkan realitinya pelajar dari kawasan luar bandar menghadapi kekangan besar dari segi kemudahan, sokongan pembelajaran dan peluang bimbingan berbanding pelajar di bandar.
“Pendidikan tinggi mesti dilihat sebagai instrumen mobiliti sosial. Jika peluang ini ditutup atau dikurangkan, ia akan menjejaskan keupayaan negara melahirkan lebih ramai graduan daripada kelompok B40 dan masyarakat luar bandar,” tegasnya.
Shahrin juga menekankan agar dasar pendidikan negara tidak berganjak daripada matlamat untuk meningkatkan keadilan sosial, di samping memastikan keberhasilan akademik yang tinggi.
Baru-baru ini, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) membuat tuntutan agar program matrikulasi dimansuhkan dan digantikan secara tunggal dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian kemasukan ke universiti awam.
Walau bagaimanapun, Universiti Malaya (UM) menegaskan bahawa tuntutan UMANY itu tidak mewakili pendirian rasmi universiti.
UMANY kemudian memohon maaf atas kekeliruan dan menjelaskan maksud cadangannya adalah menggabungkan kurikulum matrikulasi dengan STPM, supaya pelajar dari pelbagai latar belakang berpeluang bersaing secara adil. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.