Saya agak kecewa dengan kenyataan menteri yang apologetik berbanding tindakan persatuan agama yang mengheret pesalah hingga membuat permohonan maaf secara live di TV. Dan melihat ada cubaan menyamakan kes perobohan struktur di Rawang dengan tindakan memijak Al-Qur’an. Ini pemikiran yang dangkal.
Di Rawang, isu yang berlaku adalah pembinaan tanpa kebenaran di atas tanah milik pihak lain. Apabila berlaku pencerobohan, pemilik tanah berhak mengambil tindakan mengikut undang-undang. Itu fakta. Tidak ada patung dirosakkan. Tidak ada simbol agama dihina. Ia soal hak milik dan pentadbiran.
Tetapi memijak Al-Quran adalah tindakan menghina kitab suci umat Islam secara langsung. Dan lebih berani dan jelas individu tersebut mencabar apabila ia ditularkan.
Apabila seseorang memijak kitab suci dan menyebarkannya, itu bukan tindakan spontan kerana marah. Itu mesej terbuka: mencabar sensitiviti agama orang lain. Jangan cuba putar belit naratif.
Jika dahulu ada individu yang menyentuh sensitiviti agama lain sehingga diminta memohon maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan, maka prinsip yang sama mesti terpakai hari ini. Atau adakah undang-undang kita hanya tegas terhadap satu pihak dan lembut terhadap pihak lain?
Negara ini tidak boleh bertahan dengan keadilan terpilih. Jika penghinaan agama dibiarkan atas alasan “emosi” atau “reaksi”, maka kita sedang membuka pintu kepada budaya balas-membalas penghinaan agama. Itu sangat berbahaya.
Saya mendesak pihak berkuasa bertindak tegas dan telus. Jangan ada kompromi dalam soal menghina kitab suci mana-mana agama. Dan kepada masyarakat khusus umat Islam, kita jangan terperangkap dalam permainan provokasi. Pertahankan agama dengan matang, bukan dengan emosi liar. Tetapi dalam masa yang sama, jangan tunduk kepada hipokrasi.
Keadilan mesti jelas. Tegas. Tanpa pilih kasih. Jika tidak, rakyat akan hilang hormat terhadap sistem. Apa guna undang-undang jika tidak digunakan hanya kerana apologetik menteri politikus mahu menjaga undi padahal dalam masa sama melaungkan; nobody above the law. Tidak dapat tidak, pesalah mesti dihukum bukannya dilindungi.
Haji Rashidi bin Haris , Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.