
KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2025 – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengkritik pendekatan kerajaan yang dilihat terlalu pantas dalam mengumumkan pelan baharu untuk menangani isu disiplin dan keselamatan pelajar.
Beliau menegaskan bahawa pengumuman tergesa-gesa itu menunjukkan bahawa kerajaan “belum faham” dengan akar masalah sistem pendidikan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Nik Nazmi mempersoalkan keupayaan Kementerian Pendidikan di bawah pengurusan Menteri Fadhlina Sidek untuk menghasilkan pelan yang mampan dan berkesan.
Beliau menyebut bahawa masalah utama bukan sekadar kekurangan dasar atau pekeliling, tetapi budaya kerja dan sistem yang tidak memberikan sokongan mencukupi kepada guru dan pelajar di sekolah.
“Apabila Ketua Pengarah Pendidikan sendiri mengaku ada kes ‘disapu bawah karpet’, itu bukan sekadar masalah komunikasi — ia menandakan kegagalan sistem pentadbiran untuk memberi ruang kepada warga sekolah bersuara tanpa rasa takut,” ujar Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengumuman dasar baru setiap kali krisis muncul bukanlah jalan penyelesaian. Beliau menyeru agar kerajaan terlebih dahulu mendengar pandangan warga pendidik di lapangan dan meneliti laporan serta data secara jujur dan holistik sebelum mengambil tindakan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa mesyuarat Kabinet akan membincangkan langkah-langkah lebih ketat berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar, kerana beliau melihat penggunaan media sosial tanpa kawalan sebagai antara punca utama timbulnya masalah disiplin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.