Isu Taiwan: PAS Bimbang Kesan Diplomasi, Mantan Timbalan Menteri Beri Amaran Pelaburan Terjejas

KUALA LUMPUR | 22 Ogos 26 – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyatuan Taiwan dengan China mencetuskan kebimbangan dari dua sudut berbeza apabila PAS mempersoalkan implikasi diplomatiknya, manakala bekas Timbalan Menteri MITI, Dr Ong Kian Ming memberi amaran terhadap potensi kesan kepada pelaburan Taiwan di Malaysia.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penegasan Malaysia terhadap dasar Satu China (One China) bukanlah menjadi persoalan, namun Malaysia perlu membezakan dasar diplomatik tersebut dengan pendirian mengenai bagaimana konflik China-Taiwan harus diselesaikan.

Menurutnya, kenyataan Anwar yang dilihat membuka kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan boleh menyempitkan ruang diplomasi Malaysia serta menyebabkan negara dilihat memihak dalam pertikaian antara Beijing dan Taipei.

“Apabila PM Anwar dilihat cuba menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu ini, beliau tanpa disedari telah menyempitkan ruang diplomasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Takiyuddin berkata, pendekatan itu juga boleh melemahkan kecenderungan ASEAN yang mengutamakan dasar tidak campur tangan, penyelesaian konflik secara aman dan autonomi strategik negara-negara anggotanya.

PAS, katanya, tidak mahu Malaysia dipaksa memilih antara Beijing dengan Taipei atau antara Beijing dengan Washington.

Sebaliknya, Malaysia perlu menggunakan kedudukannya untuk menggalakkan kedua-dua pihak mencari titik pertemuan secara aman demi kepentingan rakyat serta kestabilan serantau dan dunia.

Dalam perkembangan sama, Ong Kian Ming melihat kenyataan Anwar dari sudut kepentingan ekonomi dan pelaburan, khususnya dalam sektor semikonduktor.

Ong menyifatkan kenyataan Anwar sebagai “tidak perlu, berbahaya dan terlalu simplistik”, selain memberi amaran ia berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur Taiwan terhadap Malaysia.

Menurutnya, Malaysia mendapat manfaat besar daripada strategi kepelbagaian risiko syarikat Taiwan yang menggunakan pendekatan “Taiwan + One”, selain tekanan geopolitik yang turut mendorong strategi “China + One”.

Beliau berkata perdagangan Malaysia-Taiwan mencecah RM230 bilion pada 2025, manakala Taiwan merupakan pelabur asing kelapan terbesar Malaysia pada tahun sama dengan lebih RM4 bilion pelaburan diluluskan, berdasarkan statistik MIDA.

“Daripada mendedahkan Malaysia kepada publisiti negatif yang boleh menjejaskan sebahagian pelaburan ini dari Taiwan, Malaysia sepatutnya secara senyap memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan tanpa menjejaskan dasar One China,” katanya.

Ong turut memetik kenyataan Kementerian Luar Taiwan yang memberi amaran bahawa sokongan Anwar kepada China berpotensi memberi kesan negatif terhadap keyakinan syarikat Taiwan yang merancang untuk melabur di Malaysia.

Beliau berkata perkara itu amat penting dalam konteks perkembangan industri semikonduktor Malaysia yang kini berkembang pesat hasil daripada usaha syarikat antarabangsa mempelbagaikan rantaian bekalan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share