
SEREMBAN, 27 Ogos 2026 — Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan baki peruntukan berjumlah RM3.09 juta yang sebelum ini diluluskan kepada wakil Pakatan Harapan (PH) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya dipulangkan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim berkata, peruntukan asal berjumlah RM3.465 juta itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pentadbiran terdahulu untuk kegunaan tiga bulan iaitu Julai, Ogos dan September, walaupun DUN telah dibubarkan pada 5 Jun 2026.
Menurut beliau, peruntukan itu melibatkan tujuh Exco, 10 ADUN PH serta dua penyelaras DUN.
“Secara kronologi, MMK di bawah pentadbiran lalu telah meluluskan peruntukan kepada ADUN Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada tujuh Exco, 10 ADUN dan dua penyelaras DUN yang berjumlah RM3,465,000 untuk kegunaan bulan Julai, Ogos dan September walaupun DUN dibubarkan pada 5 Jun 2026,” katanya dalam kenyataan selepas sidang akhbar pasca MMK hari ini.
Ismail berkata, setiap Exco menerima peruntukan Pusat Khidmat sebanyak RM15,000 dan RM60,000 bagi Kesejahteraan Rakyat, menjadikan jumlah RM225,000 bagi tempoh tiga bulan seorang.
Bagi 10 ADUN PH pula, setiap seorang menerima RM13,000 untuk Pusat Khidmat dan RM45,000 bagi Kesejahteraan Rakyat, dengan jumlah RM174,000 bagi tempoh tiga bulan.
Sementara itu, dua penyelaras DUN masing-masing menerima RM10,000 bagi Pusat Khidmat dan RM40,000 bagi Kesejahteraan Rakyat, dengan jumlah RM150,000 untuk tiga bulan.
Bagaimanapun, MMK hari ini memutuskan bekas Exco PH yang menjalankan tugas atas kapasiti ‘caretaker’ sehingga 31 Julai lalu hanya perlu memulangkan baki peruntukan bagi Ogos dan September berjumlah RM150,000.
“Manakala ADUN PH yang lain pula hendaklah memulangkan semua peruntukan yang diterima sebanyak RM174,000 dan bagi penyelaras DUN Labu dan Paroi sebanyak RM150,000 untuk keseluruhan bulan Julai, Ogos dan September,” katanya.
Ismail berkata, keseluruhan baki peruntukan yang perlu dipulangkan berjumlah RM3.09 juta dan semua pihak terlibat diberikan tempoh 30 hari daripada tarikh surat dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai rasional kelulusan peruntukan bagi tempoh selepas pembubaran DUN, khususnya apabila sebahagian penerima tidak lagi memegang fungsi sebagai ADUN selepas pembubaran tersebut.
Dalam perkembangan sama, Ismail turut mengumumkan pelantikan Dato’ V.S. Mogan sebagai Pegawai Khas bertaraf Exco bagi menjaga hal ehwal masyarakat India di Negeri Sembilan, berkuat kuasa 1 September ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh tadbir urus yang telus, cekap dan berintegriti bagi menjamin kesejahteraan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.