
UMNO dan DAP; dua parti yang kononnya sedang duduk sebumbung dalam kerajaan — telah gagal menunjukkan kematangan politik apabila berdepan polemik bendera negara.
Sebaliknya, kedua-duanya saling bercakaran dan menuding jari, seolah-olah Jalur Gemilang itu milik parti, bukan milik rakyat Malaysia.
UMNO, kononnya nasionalis, cepat meloncat setiap kali berlaku kesilapan pada rekaan bendera — jalur tidak cukup, bulan sabit hilang, atau bendera digantung terbalik. Mereka ingin tonjolkan diri sebagai penjaga maruah negara.
Tapi dalam masa sama, mereka gagal mengakui bahawa kecuaian juga berlaku dalam kalangan pemimpin dan jentera mereka sendiri, iaitu pemuda UMNO terengganu. Bila kena pada orang lain, jadi isu besar; bila kena pada mereka, sekadar “kesilapan teknikal.”
DAP pun satu masalah, sering bertindak defensif, sangat mudah melabel kritikan sebagai cubaan “memanaskan isu” atau “main sentimen perkauman.”
Tapi realitinya, setiap kali ada kesilapan bendera, reaksi pertama pemimpin DAP adalah mencari hujah untuk meremehkan, bukannya segera mengambil tanggungjawab.
Sikap ini menimbulkan persepsi bahawa DAP tidak sensitif terhadap simbol yang menjadi tunjang identiti negara.
Ironinya, kedua-dua parti ini kini duduk dalam kerajaan perpaduan.. tetapi setiap kali isu Jalur Gemilang muncul, yang ditonjolkan bukanlah semangat perpaduan, tetapi pertengkaran yang mendedahkan retak-retak politik yang semakin jelas.
Apa yang lebih malang, rakyat diheret masuk dalam polemik ini — dipaksa melihat Jalur Gemilang bukan sebagai simbol penyatuan, tetapi sebagai senjata politik.
Kesimpulannya, UMNO dan DAP sama-sama bersalah dan bermasalah. UMNO bermain dengan retorik hipokrit, DAP pula terlalu cepat menolak isu sebagai remeh.
Di Bulan kemerdekaan ini, Jalur Gemilang sepatutnya mengangkat semangat nasional, bukan menjadi alat untuk menunjukkan siapa lebih “patriotik” di pentas politik. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.