
KUALA LUMPUR, 15 Mei 25 – Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Petronas serta mengiktiraf tuntutan Sarawak untuk mendapatkan hasil yang lebih adil.
Mereka berkata, cita-cita Sarawak wajar dihormati namun tidak seharusnya sehingga sampai ke tahap menjejaskan kepentingan nasional oleh Petronas yang disifatka sebagai “angsa yang bertelur emas”, lapor FMT.
Pengerusi Perikatan Nasional dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya Petronas mengalami kerugian, ia akan turut dirasai Sarawak.
“Kita tidak boleh sampai ke tahap membunuh angsa yang bertelur emas, kerana jika Petronas mengalami kerugian, Sarawak juga akan turut terkesan.”
Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula berkata, Petronas perlu terus dipelihara dengan menetapkan perjanjian yang adil.
“Perjanjian yang adil perlu disandarkan pada formula yang sebenar. Angsa yang menghasilkan telur emas ini mesti terus dipelihara demi masa depan rakyat negara ini.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata:
“Kenapa kita mahu menyingkirkan pemain terbaik dalam pasukan?”
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin pula memberi amaran bahawa jika pertikaian antara Petronas dan syarikat minyak negeri Sarawak, Petros, tidak diselesaikan segera, Malaysia berisiko menyaksikan era kegemilangan Petronas berakhir.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula menyatakan kebimbangan bahawa jika hak Petronas dilepaskan, ia boleh mengurangkan sumbangannya kepada perbendaharaan negara antara 30% hingga 40%.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata:
“Mungkin ada jalan penyelesaian lain yang turut menguntungkan Sarawak. Tetapi untuk merosakkan Petronas adalah langkah yang buruk, kerana ini syarikat yang dibanggakan oleh rakyat Malaysia.”
Manakala tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah menambah: “Jika Sarawak rasa tidak mendapat layanan yang adil, bangkitkanlah perkara itu kepada Perdana Menteri. Saya yakin perkara itu boleh diperbetulkan. Tetapi tolonglah, jangan bunuh angsa yang bertelur emas.” @sumber