Presiden PERKASA Letak Jawatan, Berkuatkuasa 1 April 2026

KUALA LUMPUR | 9 Mac 26 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengumumkan bahawa Presidennya, Syed Hassan Syed Ali, akan meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 1 April 2026, menurut kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Keputusan ini diumumkan dalam Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) PERKASA yang berlangsung di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, semalam. Walaupun beberapa ahli ADT cuba memujuk Syed Hassan untuk mengekalkan jawatan lebih lama, beliau tetap dengan keputusannya.

Kesemua ahli ADT menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka, dan mesyuarat bersetuju untuk menerima perletakan jawatan beliau atas sebab-sebab tertentu yang telah dikemukakan oleh Syed Hassan.

Syed Hassan ketika dihubungi mengesahkan peletakan jawatannya. Beliau memaklumkan bahawa keputusan tersebut diambil kerana beliau merasakan sudah terlalu lama bersama PERKASA dan kini sudah tiba masanya untuk beliau berehat.

“Yang pasti saya dah lama sangat dalam PERKASA yang saya tubuhkan bersama Tok Him (Ibrahim Ali) 2008.

“Jadi SU Agung 14 tahun dan Presiden 3 tahun 3 bulan. Cukuplah dengan PERKASA, cuba platform lain. Kata beliau kepada politiko.

Mengikut Perlembagaan, Timbalan Presiden PERKASA, Borhan Bin Ahmad Zakaria, akan memangku jawatan Presiden sementara, manakala Dato’ Zarin Bin Mohd Yasin, salah seorang Naib Presiden, akan menjalankan tugas dengan memangku jawatan Timbalan Presiden.

Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor, mewakili seluruh kepimpinan ADT, merakamkan ucapan terima kasih kepada Syed Hassan atas 17 tahun khidmat dan pengorbanan beliau sejak menjadi Setiausaha Agung pertama PERKASA sehingga Presiden. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share