Pusingan ke-4 rundingan perdagangan bebas antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) telah berlangsung dalam minggu ke-2 bulan Jun 2026. EU telah mendedahkan tuntutan-tuntutannya berkaitan bab harta intelek kepada umum khususnya mengenai perlindungan varieti tumbuhan (PVP).
Teks yang dicadangkan oleh EU berbunyi “Setiap Pihak hendaklah melindungi hak varieti tumbuhan selaras dengan Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (Konvensyen UPOV) seperti yang disemak semula buat kali terakhir di Geneva pada 19 Mac 1991.”
Ini bermakna, EU memaksa Malaysia untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan (Akta 634) Malaysia agar selari dengan teks Akta UPOV 1991. Umum sedia maklum bahawa, sebarang cadangan yang menuntut Malaysia menyelaraskan sistem perlindungan varieti tumbuhan (PVP) negara dengan UPOV 1991 dan/atau menyertai Konvensyen tersebut kekal menjadi isu yang sangat kontroversi.
Terdapat bantahan awam yang hebat daripada organisasi masyarakat sivil, petani-petani kecil, dan pelbagai pihak lain terhadap sebarang langkah ke arah keanggotaan ke dalam Konvensyen UPOV 1991. Asas kepada kebimbangan ini telah disuarakan secara berulang kali dan terperinci dalam pelbagai kesempatan oleh pelbagai pihak.
Kami menegaskan pandangan kami bahawa penggubalan undang-undang yang diselaraskan dengan UPOV 1991 dan/atau menyertai Konvensyen UPOV 1991 adalah tidak menguntungkan kepentingan nasional negara.
Langkah sedemikian berisiko menjejaskan hak-hak petani, menggalakkan biopirasi (pencurian sumber genetik tempatan), meningkatkan kos benih, dan akhirnya menyumbang kepada harga makanan yang lebih tinggi.
Ia juga akan memperkukuh pemusatan korporat dan kawalan monopoli dalam sektor benih, mengurangkan ruang dasar Malaysia untuk mengejar objektif pembangunan pertanian dan luar bandar, serta melemahkan daya tahan sistem pertanian tempatan.
Secara keseluruhannya, impak-impak ini boleh memberi kesan serius terhadap keterjaminan makanan, pemeliharaan kepelbagaian biologi, dan pembangunan pertanian mampan di Malaysia. Berbanding menerima pakai model UPOV yang tegar dan bersifat “satu saiz untuk semua” (one-size-fits-all), Malaysia sepatutnya terus mengekalkan dan memperkukuh sistem PVP negara ini yang unik dan disesuaikan mengikut acuan keadaan nasional serta keutamaan pembangunan Malaysia.
Pakar-pakar antarabangsa, termasuk Pelapor Khas PBB mengenai Hak untuk Mendapatkan Makanan (UN Special Rapporteurs on the Right to Food), secara konsisten mengesyorkan agar negara-negara membangun mengelak daripada menyertai UPOV 1991, dan sebaliknya melaksanakan sistem PVP alternatif yang bersesuaian dengan konteks pertanian nasional masing-masing.
Tambahan pula, pada 29 Oktober 2025, Jawatankuasa PBB mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan dalam laporan berkala ke-7 Belanda (sebuah negara anggota EU), telah mengesyorkan kepada negara tersebut untuk membenarkan negara-negara membangun mengekalkan ruang dasar dalam rundingan perdagangan, terutamanya yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penggunaan lestari sumber tumbuhan bagi keterjaminan makanan dan pertanian serta yang berkaitan dengan Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV).
Sistem PVP Malaysia dikawal selia oleh perundangan yang digubal oleh Parlimeniaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634)– yang selaras dengan obligasi kita di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Ia menyediakan kerangka perundangan yang seimbang bagi perlindungan varieti tumbuhan (PVP).
Berbeza dengan UPOV 1991, akta ini melindungi hak pembiak baka tumbuhan komersial di samping memelihara hak-hak petani untuk menyimpan, menggunakan, menukar, dan menjual benih yang disimpan dari ladang (farm-saved seeds) bagi varieti yang dilindungi.
Ia juga mengandungi langkah perlindungan kritikal yang tiada dalam UPOV 1991 iaitu langkah-langkah untuk mencegah biopirasi sumber genetik tanaman Malaysia yang kaya, syarat kepada pembiak baka untuk mendepositkan sampel benih di pusat-pusat yang diluluskan, syarat mandatori untuk menyediakan varieti yang dilindungi dalam kuantiti yang munasabah pada harga yang berpatutan, serta ruang dasar bagi kerajaan untuk melindungi kepentingan awam dan nasional.
Menyelaraskan undang-undang kita dengan Akta UPOV atau menyertai Konvensyen UPOV 1991 akan meruntuhkan sistem sedia ada yang telah dirangka dengan baik ini.
Dalam rundingan perdagangan dengan EU, MITI dan Kementerian Pertanian (KPKM) tidak sepatutnya dalam apa cara sekalipun menjejaskan proses demokratik Malaysia dengan tunduk kepada tuntutan EU agar undang-undang PVP Malaysia diselaraskan dengan Akta UPOV 1991 yang merupakan sebuah Konvensyen yang digubal tanpa penyertaan sebahagian besar negara membangun termasuk Malaysia.
Kesilapan telah berlaku dalam rundingan perdagangan terdahulu seperti dalam CPTPP dengan mengikat komitmen Malaysia terhadap UPOV 1991 (ia boleh semak semula). Namun, kesilapan ini tidak patut diulangi dalam rundingan perdagangan dengan EU.
Dalam perjanjian perdagangan EU dengan India, tiada sebarang syarat untuk menyelaraskan undang-undang PVP India dengan UPOV 1991 atau menyertai Konvensyen UPOV.
Ini menunjukkan bahawa bersetuju dengan syarat UPOV 1991 bukanlah sesuatu kesudahan rundingan perdagangan yang tidak boleh dielakkan, dan sesebuah negara mampu mengelak daripada tuntutan tersebut sekiranya ia bercanggah dengan kepentingan nasional.
Jika Kerajaan Malaysia mempertahankan kerangka perundangan sedia ada dengan tegas, kami percaya Kesatuan Eropah boleh dipujuk untuk menggugurkan tuntutan tersebut. UPOV 1991 kekal sebagai salah satu instrumen antarabangsa yang paling kontroversi di dunia, yang mengisytiharkan perang terhadap hak-hak petani, sehingga mencetuskan pelbagai protes global dan cabaran perlembagaan.
Sebagai contoh, pada tahun 2022, Mahkamah Agung Honduras telah mengisytiharkan undang-undang PVP yang beracuan UPOV 1991 sebagai tidak berperlembagaan (unconstitutional) setelah mendapati bahawa ia bercanggah dengan beberapa obligasi hak asasi manusia antarabangsa Honduras.
Mahkamah Honduras secara khusus merujuk kepada tanggungjawab Negara untuk melindungi hak untuk mendapatkan makanan serta hak petani kecil-kecilan dan orang asal terhadap benih, seperti yang diiktiraf di bawah instrumen hak asasi manusia antarabangsa.
Baru-baru ini juga, Mahkamah Tinggi Kenya telah mengeluarkan penghakiman penting yang mengisytiharkan peruntukan dalam Akta Benih dan Varieti Tumbuhan Kenya sebagai tidak perlembagaan kerana menyekat keupayaan petani untuk menyimpan, menggunakan, menukar, dan menjual benih yang disimpan dari ladang bagi varieti yang dilindungi.
Perkembangan ini jelas menyokong kebimbangan kami dari sudut perundangan, sosial, dan hak asasi manusia yang dikaitkan dengan model UPOV 1991, serta menunjukkan bahawa penerimaan pakainya masih jauh daripada dipersetujui secara universal.
Oleh itu, kami menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengekalkan dan mempertahankan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) sedia ada, yang menyediakan kerangka perundangan seimbang dan bersesuaian dengan konteks tempatan dengan mengambil kira kepentingan pembiak baka tumbuhan, petani, penyelidik, serta orang awam.
Malaysia tidak seharusnya menjejaskan undang-undang PVP Malaysia yang digubal dengan teliti ini semata-mata untuk akur kepada pihak UPOV 1991, serta memikul komitmen yang akan menjejaskan hak-hak petani dan kepentingan nasional, khususnya keterjaminan makanan negara.
Nurfitri Amir Muhammad Ketuakoordinator, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.