
KUALA LUMPUR | 15 Sep 26 – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan mengenai keputusan untuk tidak membincangkan isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, tanpa berlindung di sebalik istilah “prerogatif diraja”.
Zaid berkata Perdana Menteri perlu mengambil tanggungjawab terhadap perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh kerajaan, termasuk keputusan berkaitan agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Yang mentadbir negara bukan Raja; tetapi Perdana Menteri. Kita perlu jelas mengenai perkara ini. Begitulah cara kerajaan berperlembagaan berfungsi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut Zaid, Perdana Menteri sememangnya bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan memberi taklimat mengenai urusan negara, manakala Raja juga boleh menyampaikan apa sahaja pandangan atau kehendak kepada Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, komunikasi antara Perdana Menteri dan Raja adalah bersifat peribadi dan sulit dalam sistem kerajaan berasaskan Westminster.
“Segala sesuatu yang dilakukan atau tidak dilakukan adalah tanggungjawab kerajaan pada ketika itu,” katanya.
Zaid turut mengingatkan Perdana Menteri supaya tidak menggunakan nama Raja untuk menjelaskan sesuatu keputusan kerajaan kepada orang awam, termasuk dengan mengatakan Raja mahukan sesuatu perkara dilakukan atau tidak dilakukan.
Katanya, Raja perlu dilindungi daripada kontroversi dan komen awam kerana Baginda tidak bertanggungjawab kepada rakyat dengan cara yang sama seperti Perdana Menteri.
“Perdana Menteri tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menggunakan nama Raja. Beliau tidak boleh mencari populariti atau sokongan awam dengan menggunakan nama Raja. Begitu juga, beliau tidak boleh mengelak kontroversi dengan berlindung di sebalik Istana,” katanya.
Mengulas isu Lembaga Pengampunan, Zaid mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak memberikan penjelasan berhubung keputusan untuk tidak membincangkan perkara berkaitan Najib dalam mesyuarat berkenaan.
“Perdana Menteri tidak boleh mengatakan isu Najib berada dalam agenda kerana ia merupakan prerogatif Raja. Agenda itu wujud kerana kerajaan mahukannya. Ia sebahagian daripada mesyuarat kerajaan,” katanya.
Zaid berkata Anwar perlu menjelaskan mengapa mesyuarat tersebut diteruskan tanpa membincangkan isu berkenaan dan tidak sekadar menyifatkannya sebagai perkara yang berada di bawah prerogatif Raja.
Menurutnya, tanggungjawab seorang Perdana Menteri bukan sekadar menikmati keistimewaan dan kemegahan jawatan, tetapi memikul tanggungjawab terhadap tindakan atau kegagalan bertindak oleh kerajaan.
“Jangan melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain. Semuanya berkaitan dengan soal memikul tanggungjawab,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.