
KUALA LUMPUR, 28 Nov 2025 – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa hak dan kepentingan bumiputera kekal sebagai garis merah yang tidak akan dikompromi dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Zafrul berkata perjanjian itu tidak menjejaskan kedudukan bumiputera dalam ekonomi, sambil mencabar pihak yang menuduh sebaliknya agar mengemukakan bukti.
“Saya ingin mencabar pihak yang membuat dakwaan tidak berasas ini supaya kemukakan klausa khusus dalam ART yang kononnya memberikan status bumiputera kepada syarikat AS,” katanya pada sidang media . semalam.
Kenyataan itu hadir susulan dakwaan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kononnya ART membuka ruang kepada entiti AS menikmati keistimewaan setaraf bumiputera, sekali gus menjejaskan dasar pemerkasaan ekonomi Melayu.
Zafrul turut menolak dakwaan bahawa ART menggadai kedaulatan negara. Menurutnya, kedua-dua kerajaan komited mempertahankan kedaulatan masing-masing sambil memperkukuh kerjasama perdagangan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
“Jangan baca perjanjian ini sekerat-sekerat. Ia mesti dilihat secara menyeluruh dan dalam konteks sebenar,” katanya.
Semalam, Sekretariat Kesatuan Melayu bersama beberapa NGO mendesak kerajaan menilai semula serta membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat 2025 (ART 2025), yang menurut mereka membawa implikasi besar terhadap kedaulatan ekonomi negara.
Mereka mendakwa, mendakwa ART 2025 disifatkan berat sebelah, menjejaskan hak negara dalam perdagangan antarabangsa serta bertentangan dengan prinsip WTO dan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.