
KUALA LUMPUR, 20 Jun 25 – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” dalam sebarang bentuk penerbitan dan platform yang berkaitan dengan mereka.
Gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan SIS untuk membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Selangor Royal Press, Sultan Sharafuddin bertitah agar perkataan “Islam” tidak “sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut”.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam,” kata kenyataan tersebut.
Panel lima hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan menerima rayuan SIS yang memohon agar ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menganggap pertubuhan berkenaan sebagai sesat dan menyeleweng.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang membacakan ringkasan penghakiman berkata fatwa pihak berkuasa agama hanya terpakai kepada individu dan bukannya badan atau “orang buatan” atau “tiruan”. @politiko.my