Rakyat Malaysia tidak seharusnya terus menjadi penonton kepada politik negara atau meninggalkan politik hanya kerana kecewa dengan ahli politik.
Sebaliknya, mereka yang mahukan politik lebih bersih, adil dan berintegriti perlu berani tampil menjadi sebahagian daripada perubahan.
Sudah tiba masanya kita membina satu wadah politik yang boleh menjadi pilihan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, umur, pekerjaan mahupun latar belakang.
Parti Wawasan Negara (WAWASAN NEGARA) mesti tampil sebagai wadah tersebut menjadi sebuah parti yang menyatukan, bukan memecahkan; membina, bukan meruntuhkan; dan menawarkan penyelesaian, bukan sekadar bermain dengan sentimen politik.
Gerakan RESET Malaysia mengemukakan Gagasan Konsensus Nasional Baru dengan satu tujuan yang jelas iaitu membina Malaysia yang lebih baik, maju, makmur dan bahagia berasaskan tiga tonggak utama iaitu Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tadbir Urus Berperikemanusiaan.
Antara perkara yang paling menarik dalam gagasan ini ialah prinsip “amar makruf nahi mungkar” menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang diketengahkan sebagai asas moral dalam gerakan pembinaan bangsa.
Dalam konteks pentadbiran negara, amar makruf bermakna kita memperjuangkan keadilan, integriti, kebajikan rakyat, peluang ekonomi, pendidikan berkualiti dan kepimpinan yang amanah.
Nahi mungkar pula menuntut keberanian untuk menentang rasuah, salah guna kuasa, penindasan, ketidakadilan, politik wang, diskriminasi dan ketirisan.
Sebab itu kita mahu membawa budaya politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti, serta meninggalkan politik wang, rasuah, salah guna kuasa, perkauman sempit dan ekstremisme sebagaimana digariskan dalam gerakan RESET.
Malaysia tidak akan menjadi lebih kuat jika politik kita sentiasa mencari perkara yang memisahkan rakyat. Kita perlu mencari titik pertemuan.
Saya menyeru rakyat Malaysia agar jangan sekadar menjadi penonton kepada masa depan negara. Jadilah sebahagian daripada mereka yang membentuknya.
Mari kita bina Parti Wawasan Negara sebagai wadah politik yang membawa amar makruf nahi mungkar sebagai kompas moral, Konsensus Nasional Baru sebagai jambatan penyatuan, kemakmuran bersama sebagai agenda ekonomi rakyat dan tadbir urus berperikemanusiaan sebagai asas pemerintahan.
Hajah Bibi Sunita Hj Sakandar Khan Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.