
KOTA KINABALU | 27 Ogos 26 — Perikatan Nasional (PN) Sabah menggesa kerajaan supaya tidak memandang ringan usaha pihak tertentu di Filipina yang kembali membangkitkan tuntutan terhadap Sabah, susulan perkembangan geopolitik di selatan Filipina yang semakin mendapat perhatian.
Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, perkembangan peningkatan kerjasama dan keupayaan ketenteraan Amerika Syarikat-Filipina di kawasan selatan Filipina, termasuk sekitar Pulau Balabac, perlu dipandang serius kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Sabah.
Menurut beliau, walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah dan kedudukan Sabah dalam Malaysia adalah muktamad, usaha membangkitkan semula tuntutan tersebut pada 2026 tidak wajar dipandang ringan.
“Jangan pandang ringan tuntutan terhadap Sabah,” katanya dalam kenyataan media berhubung langkah memperkukuh keselamatan, kedaulatan dan ekonomi Sabah dalam menghadapi perkembangan geopolitik serantau.
Aliakbar berkata, kepentingan Malaysia, khususnya keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan rakyat Sabah, mesti terus menjadi keutamaan kerajaan.
Sehubungan itu, PN Sabah mengemukakan empat pendekatan utama merangkumi pengukuhan pertahanan dan keselamatan, hubungan diplomatik, ekonomi Sabah serta usaha mempertahankan kedaulatan Sabah dan Malaysia.
Bagi aspek keselamatan, beliau menggesa kerajaan Persekutuan mempercepatkan usaha memperkukuh keupayaan pertahanan dan keselamatan Sabah, terutama di pantai timur dan utara yang berhadapan dengan laluan strategik ke selatan Filipina.
Katanya, peningkatan keselamatan maritim, kesiapsiagaan agensi keselamatan serta pembangunan infrastruktur keselamatan di kawasan strategik perlu diberikan keutamaan, selain memastikan keselamatan penduduk di kawasan sempadan sentiasa terjamin.
“Pengukuhan pertahanan bukan bertujuan mencetuskan perlumbaan senjata, tetapi sebagai langkah pencegahan dan memastikan Malaysia mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk mempertahankan wilayahnya,” katanya.
Dalam aspek diplomasi pula, Aliakbar menyeru kerajaan meneruskan pendekatan yang tegas, matang dan berhemah dengan Filipina, termasuk menegaskan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Sebarang pertikaian, katanya, perlu diselesaikan melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa, di samping memperkukuh dialog keselamatan dengan Filipina serta kerjasama ASEAN.
Beliau turut menegaskan kepentingan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, China, Filipina dan negara-negara ASEAN tanpa mengorbankan kepentingan nasional.
Pada masa sama, Aliakbar berkata aspek ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada keselamatan Sabah, khususnya di kawasan timur dan utara seperti Kudat dan Pulau Banggi.
Pembangunan infrastruktur, pelabuhan, jaringan komunikasi, ekonomi maritim, perikanan, pelancongan dan industri tempatan perlu diperkasakan supaya kawasan sempadan bukan sahaja selamat, malah mempunyai ekonomi yang kukuh dan rakyat yang sejahtera.
“Penduduk yang sejahtera dan ekonomi yang kukuh merupakan sebahagian daripada benteng keselamatan negara,” katanya.
Aliakbar berkata perkembangan di sekitar Pulau Balabac dan persaingan kuasa besar di rantau ini perlu dilihat sebagai peringatan awal kepada Malaysia untuk memperkukuh keupayaan sendiri, khususnya dalam menjaga keselamatan Sabah.
“Kita tidak mahu Sabah menjadi medan persaingan kuasa besar. Kita juga tidak mahu tuntutan terhadap Sabah dipandang ringan. Namun, kita tidak mahu bertindak secara melulu sehingga menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran,” katanya.
Beliau turut menyeru kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah menjadikan perkembangan tersebut sebagai peluang untuk memperkukuh Sabah sebagai wilayah yang aman, selamat, makmur dan berdaulat dalam Malaysia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.