
KUALA LUMPUR, 2 Okt — Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menarik balik laporan polis yang dibuat pada 2019 berhubung rakaman kontroversi “video Sandakan” yang dikaitkan dengan bekas menteri kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam laporan Malaysiakini, Shafiq berkata laporan itu dibuat ketika beliau masih berada dalam Umno dan menegaskan bahawa ia kekal sah sehingga kini.
“Saya ingin menegaskan bahawa laporan polis tersebut tidak pernah saya tarik balik, sama ada secara sukarela atau akibat desakan mana-mana pihak,” katanya dipetik portal itu.
Menurut Shafiq, siasatan polis ketika itu mendapati rakaman tersebut adalah tulen dan tidak disunting, namun identiti dua individu berkenaan tidak dapat dipastikan kerana wajah mereka kabur.
Beliau menambah, sekiranya teknologi forensik terkini mampu melakukan pengecaman lebih tepat, beliau bersedia menyokong siasatan semula demi memastikan kebenaran.
Isu ini kembali hangat selepas beberapa pihak termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Shafiq menarik balik laporan tersebut selepas menyertai Bersatu, sekali gus menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri.
Kontroversi ini juga menambah ketegangan dalam Bersatu, khususnya antara kem Azmin dan beberapa pimpinan lain. Azmin baru-baru ini turut membidas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, dengan menuduhnya menyebarkan fitnah berkaitan isu sama.
Laporan “video Sandakan” sebelum ini pernah menggoncang politik negara pada 2019 dan memberi kesan besar terhadap karier politik Azmin, termasuk dalam pergolakan yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pada 2020. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.