“Jika Mahu Selesaikan Masalah Negara, Undilah PAS” – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR | 5 Ogos 26 — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, menyatakan keyakinannya bahawa PAS mempunyai kemampuan untuk menawarkan pendekatan ekonomi yang lebih adil dan berkesan bagi menangani masalah asas yang sedang dihadapi negara.

Menurut beliau, PAS mampu memperkenalkan dasar ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan tempatan, pengurangan hutang negara dan pengagihan kekayaan yang lebih seimbang kepada rakyat.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak UMNO, tetapi saya percaya PAS akan memperkenalkan dasar ekonomi baharu untuk menangani masalah utama yang kita hadapi hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya terus bergantung kepada import makanan sehingga terpaksa membelanjakan berbilion-bilion ringgit setiap tahun, sedangkan sektor pertanian tempatan masih mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan.

Zaid turut mengkritik sistem kapitalisme moden yang menurutnya lebih memihak kepada golongan kaya, sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang semakin melebar serta meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, sistem ekonomi Islam yang pernah diamalkan pada zaman pemerintahan Umawiyyah, Abbasiyyah dan Andalusia membuktikan bahawa pembangunan ekonomi boleh dilaksanakan tanpa mengabaikan kebajikan masyarakat.

“Etika sentiasa didahulukan berbanding keuntungan. Perdagangan bebas berkembang dengan pesat, tetapi tidak dibiarkan tanpa kawalan seperti yang berlaku pada hari ini, apabila 12 individu memiliki kekayaan yang lebih besar daripada empat bilion penduduk termiskin dunia,” katanya.

Beliau berkata, pemerintah Islam pada masa itu bukan sahaja menggalakkan pembayaran zakat, malah memastikan golongan berada turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.

Zaid turut berpendapat bahawa golongan maha kaya perlu dikenakan cukai yang sewajarnya bagi mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat.

“Jika kita mahu menyelesaikan masalah negara, undilah PAS,” katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa memandangkan Zaid bukanlah pemimpin PAS, namun beliau secara terbuka menyatakan keyakinannya bahawa parti itu mampu menawarkan model ekonomi yang berbeza daripada pendekatan sedia ada. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share