“Jika UMNO Bersama Anwar, Siasatan Mungkin Dihentikan” – Kata Ramasamy

KUALA LUMPUR | 5 Sep 26 – Pengerusi Urimai, Prof Dr P Ramasamy mendakwa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Tabung Haji (TH) dan Felda mungkin dihentikan sekiranya UMNO memilih untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, siasatan dan pendakwaan terhadap sebahagian pemimpin UMNO kini menjadi “kad trump” yang berada dalam tangan Anwar, ketika kerjasama UMNO-PAS semakin menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Sekiranya Umno bersedia bekerjasama dengan Anwar, siasatan terhadap kedua-dua agensi Persekutuan ini mungkin telah dihentikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, baru-baru ini.

Dakwaan itu dibuat ketika siasatan SPRM terhadap isu TH semakin berkembang. Setakat 2 September, SPRM memaklumkan telah membuka 14 kertas siasatan, dengan 18 individu ditahan dan 11 daripadanya direman. Beberapa individu yang pernah ditahan pula dijadualkan didakwa di mahkamah.

Terbaharu, seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan berkaitan isu pajakan hotel TH di Mekah dan Madinah, yang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ramasamy mendakwa Anwar mungkin melihat siasatan berkenaan sebagai cara untuk menghalang UMNO daripada menjalinkan kerjasama dengan PAS, khususnya selepas kejayaan kerjasama kedua-dua parti itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau bagaimanapun berpandangan UMNO akan terus bekerjasama dengan PAS di Melaka bagi meningkatkan peluang menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Ramasamy turut memberi amaran bahawa kemenangan pembangkang di Melaka boleh meningkatkan tekanan terhadap kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum lebih awal.

“Sekiranya Anwar melengah-lengahkan pilihan raya, BN akan menarik balik sokongannya terhadap Anwar,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan mengenai peranan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam membantu siasatan terhadap pemimpin UMNO sebelum mengakhiri kenyataannya dengan persoalan:

“Persoalannya, siapakah sebenarnya ketua sebenar atau ketua de facto SPRM pada masa ini?”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share