
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak wajar diluluskan secara tergesa-gesa tanpa penelitian menyeluruh, sambil menjadikan kontroversi pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebagai pengajaran penting.
Menurut Johari, isu pengambilan tanah, kredibiliti pemaju, serta penilaian nilai hartanah perlu diperjelas terlebih dahulu bagi menjamin keadilan kepada semua pihak. Beliau berkata, undang-undang hanya akan meyakinkan rakyat sekiranya ia digubal dengan ketelusan dan mekanisme yang jelas.
“Peraturan-peraturan berkaitan URA wajar dimasukkan sebagai lampiran dalam rang undang-undang. Ini akan memastikan prosedur lebih telus dan orang ramai memahami hak mereka,” katanya ketika ditemubual khas Podcast Utama Buletin TV3, baru-baru ini.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan jika pemaju yang mendapat kelulusan gagal atau gulung tikar, kerana ia akan memberi kesan langsung kepada penduduk serta kerajaan.
Johari turut menekankan bahawa penilaian tanah tidak boleh bergantung kepada hanya seorang penilai. Katanya, penglibatan penilai swasta perlu dipertimbangkan supaya anggaran nilai tanah lebih adil dan seimbang.
Kontroversi pembangunan semula Kampung Sungai Baru kembali hangat selepas operasi pengosongan 37 unit rumah teres dijalankan baru-baru ini, yang turut menyaksikan kejadian kecederaan membabitkan seorang anggota polis.
Johari berkata, apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru seharusnya menjadi peringatan agar sebarang dasar baharu, termasuk URA, dilaksanakan dengan penuh cermat bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.