“Mencuri Ini Bukan Soal Bangsa” – Akmal Saleh

KUALA LUMPUR | 17 Ogos 26 – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan perbuatan mencuri atau melakukan jenayah tidak boleh dikaitkan dengan bangsa, sebaliknya kesalahan perlu dilihat berdasarkan perbuatan individu dan dibawa melalui proses undang-undang.

Beliau berkata, dalam setiap bangsa termasuk Melayu, Cina dan India, terdapat individu yang baik serta mereka yang melakukan kesalahan, justeru tidak wajar kesalahan beberapa individu dijadikan alasan untuk menghina atau merendahkan sesuatu kaum secara keseluruhan.

“Ada Melayu yang mencuri. Ada Cina yang mencuri. Ada India yang mencuri. Dalam setiap bangsa, ada yang baik dan ada yang melakukan kesalahan,” katanya dalam status facebook, hari ini.

Menurut Akmal, isu berkaitan Tabung Haji juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyalahkan bangsa Melayu secara keseluruhan sekiranya terdapat individu Melayu yang didakwa melakukan kesalahan.

“Kesalahan dalam Tabung Haji, jika yang mencuri itu Melayu dan terus nak salahkan bangsa Melayu, itu tidak adil,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa terdapat kes korporat dan isu terowong yang pernah dikaitkan dengan individu daripada bangsa lain, namun perkara itu tidak bermakna seluruh kaum berkenaan harus dipersalahkan.

“Kalau ada yang mencuri, tangkap. Siasat. Dakwa. Bawa ke mahkamah. Biar undang-undang tentukan siapa bersalah,” katanya.

Akmal berkata kerajaan juga mempunyai kuasa, agensi penguatkuasaan dan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang disyaki melakukan kesalahan.

“Lebih-lebih lagi kalau kamu berada dalam kerajaan. Kamu ada kuasa, ada agensi, ada undang-undang. Gunakanlah,” katanya.

Beliau pada masa sama mengkritik pihak yang masih gemar menuding jari selepas berada dalam kerajaan, sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

“Jangan sudah jadi kerajaan, tetapi masih bercakap macam pembangkang—pandai menuding jari, tetapi gagal mengambil tindakan,” katanya.

Akmal turut mendakwa terdapat kecenderungan untuk menghina Melayu secara keseluruhan apabila pelaku sesuatu kesalahan ialah individu Melayu, sedangkan perkara sama tidak dilakukan apabila pelaku daripada bangsa lain.

“Jangan kerana pelaku itu Melayu kamu hina Melayu secara keseluruhan, tetapi jika pelaku itu bangsa lain, kamu diam menikus!” katanya.

Beliau menegaskan bahawa identiti sesuatu kaum tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap sesuatu jenayah kerana perbuatan jenayah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Penjenayah ada bangsa. Tetapi jenayah tidak mengenal bangsa,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share