
KUALA LUMPUR, 13 DIS 25 — Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkannya dengan penyelewengan wang parti, susulan video tular yang memuatkan tuduhan tersebut.
Muhyiddin menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan tidak berasas, sambil menegaskan beliau tidak pernah mencuri atau menyimpan wang parti di kediamannya.
“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, dakwaan berkenaan berkemungkinan berpunca daripada maklumat palsu yang disalurkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana Dr Mahathir tidak mendapatkan penjelasan daripadanya sebelum membuat tuduhan terbuka.
“Dalam banyak pertemuan saya dengannya, perkara ini tidak pernah dibangkitkan,” katanya.
Muhyiddin berkata beliau terpanggil untuk menjelaskan isu tersebut bagi mengelakkan fitnah berterusan terhadap dirinya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tetap menghormati Dr Mahathir sebagai seorang negarawan dan orang tua, selain menegaskan hubungan mereka sebelum ini adalah akrab.
“Saya sendiri menyokong usaha beliau ke arah perpaduan orang Melayu,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan beliau juga tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.