
KUALA LUMPUR | 7 Sep 26 – Barisan Nasional (BN) masih mempunyai nilai politik apabila Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tetap mahu bekerjasama dengan gabungan itu setiap kali menjelang pilihan raya.
Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong berkata, perkara itu berlaku walaupun BN sering menjadi sasaran kritikan termasuk dilabel sebagai parti yang “sakau” dan rasuah.
“Walaupun orang kata BN ni sakau lah, rasuah lah, sebagainya. Tapi kita lihat setiap kali tiba pilihan raya, baik PN, baik PH, semua nak dengan kita.
“Walaupun dia duduk sebelah kita ni, nak timbulkan relatif dan persepsi buruk, tapi hakikatnya, mereka masih nak berpakat dengan Barisan Nasional.
“What that reflects? That reflects the value in Barisan Nasional,” katanya dalam forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu dalam Naratif PN-BN” di sini, Sabtu lalu.
Menurut Neow, BN bagaimanapun perlu mengakui kelemahan dan kesilapan yang pernah berlaku, namun perkara itu tidak seharusnya disamakan dengan keseluruhan parti.
“We cannot get away from whatever shortcomings, kekurangan, kesilapan kita.
“Tapi itu bukan disebabkan Barisan Nasional. Itu disebabkan oleh orang-orang di Barisan Nasional.
“Jadi kita perlukan pemimpin yang kuat,” katanya.
Neow berkata, perkara lebih penting bagi BN ketika ini ialah memastikan parti berkenaan mempunyai pemimpin berkualiti yang mampu meyakinkan pengundi, khususnya generasi muda.
Katanya, Gen Z tidak lagi terlalu terikat dengan “baggage” politik lama, sebaliknya lebih melihat kepada calon yang ditawarkan kepada mereka.
“Gen Z dia dah tak menilai baggage lama dah. Dia nak lihat sekarang ni, siapa calon dia? Siapa yang dia boleh pilih?” katanya.
Beliau turut berpandangan perkembangan itu membuka ruang kepada kemunculan parti atau pemimpin baharu untuk mengisi kekosongan dalam landskap politik negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.