Kaum Bukan Satu-satunya Penentu Undi, 60% Dipengaruhi Faktor Lain – Bridget Welsh

KUALA LUMPUR | 24 Sep 26 – Anggapan bahawa kaum menjadi faktor utama yang menentukan bagaimana rakyat Malaysia mengundi perlu dilihat dengan lebih berhati-hati kerana analisis menunjukkan faktor kaum dan etnik hanya menjelaskan sekitar 40 peratus corak pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Prof Dr Bridget Welsh, Honorary Research Associate, University of Nottingham, berkata baki sekitar 60 peratus pula berkait dengan faktor-faktor lain termasuk kelas, generasi, gender dan lokaliti.

Beliau berkata analisis faktor digunakan untuk melihat pelbagai elemen yang mempengaruhi tingkah laku pengundi dalam pilihan raya berbeza.

“Sebagai contoh, dalam pilihan raya Parlimen 2022, kaum dan etnik menyumbang sekitar 40 peratus dalam menjelaskan corak pengundian.

“Ini bermakna 60 peratus pengundian adalah hasil daripada sesuatu yang lain,” katanya.

Menurut Bridget, faktor kedua yang lazim muncul dalam analisis ialah kelas, manakala dalam sesetengah keadaan faktor generasi turut memainkan peranan.

Beliau berkata analisis sama yang dijalankannya terhadap pilihan raya-pilihan raya terbaharu menunjukkan pengaruh etnik meningkat di sesetengah tempat sehingga 60 peratus.

Namun, katanya, keadaan itu masih bermakna kira-kira 40 peratus corak pengundian tidak dapat dijelaskan oleh faktor etnik semata-mata.

“Saya fikir kita tidak boleh melihat faktor-faktor ini secara berasingan antara satu sama lain. Faktor-faktor tersebut saling memperkukuh.

“Apa yang sering dilakukan ialah melihat perkara-perkara ini secara satu dimensi,” katanya.

Bridget berkata demikian ketika bercakap dalam forum Politiko bertajuk “Identity Politics or Performance Politics: What Really Determines How Malaysians Vote”.

Pandangan itu menunjukkan bahawa tingkah laku pengundi perlu dilihat melalui gabungan pelbagai faktor sosioekonomi dan demografi, bukannya hanya berdasarkan identiti kaum atau etnik. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share