Ke Arah Kedaulatan Intelektual Dalam Pendidikan Tinggi Malaysia

Menilai semula silibus pendidikan tinggi di Malaysia kini menjadi satu perbincangan yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembuat dasar, sarjana dan pengamal media apabila timbul kesedaran bahawa sebahagian besar struktur ilmu yang diajar di universiti masih dibentuk oleh kerangka pemikiran yang lahir daripada sejarah kolonial dan tradisi akademik Barat moden.

Perkara ini bukan sekadar isu teknikal berkaitan kurikulum tetapi menyentuh persoalan yang lebih asas tentang bagaimana sesuatu masyarakat memahami dunia, membina ilmu dan membentuk cara berfikir generasi masa depan.

Dalam konteks ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri diRaja Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi perlu berani menilai semula kandungan kurikulum agar lebih mencerminkan realiti sejarah, budaya dan keperluan negara.

Penegasan ini membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas tentang kedudukan universiti sebagai bukan sekadar pusat penyampaian ilmu, tetapi juga institusi yang membentuk kerangka pemikiran masyarakat.

Pandangan ini turut selari dengan hujah sarjana media daripada Universiti Islam Anatarabangsa Malaysia, Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican yang sering menekankan bahawa wacana media dan sains sosial di Malaysia masih banyak bergantung kepada kerangka intelektual Barat.

Menurut beliau tanpa kesedaran sejarah dan konteks peradaban sendiri, masyarakat berisiko melihat dunia melalui lensa yang tidak sepenuhnya mencerminkan pengalaman tempatan.

Di sinilah persoalan silibus pendidikan tinggi menjadi lebih penting kerana ia berkait rapat dengan pembentukan pandangan dunia atau epistemologi sesuatu masyarakat.

Dalam erti kata lain, apa yang diajar di universiti bukan sekadar ilmu teknikal bahkan  turut membentuk cara seseorang memahami apa itu “kebenaran”, bagaimana dunia berfungsi, dan bagaimana sesuatu isu harus ditafsir.

Sejarah menunjukkan bahawa sistem pendidikan tinggi moden di banyak negara bekas jajahan berkembang daripada struktur kolonial yang dibawa oleh kuasa barat.

Di Malaysia sendiri, sistem pendidikan moden banyak dipengaruhi oleh pentadbiran British yang memperkenalkan model universiti berasaskan tradisi Eropah. Walaupun selepas kemerdekaan, banyak struktur, teori dan pendekatan akademik ini terus digunakan dalam pelbagai bidang pengajian.

Keadaan ini tidak semestinya bermasalah secara mutlak kerana tradisi ilmu barat telah menyumbang besar kepada perkembangan sains, teknologi dan pemikiran moden.

Namun apabila satu kerangka ilmu menjadi terlalu dominan ia boleh menyebabkan masyarakat cenderung memahami realiti mereka melalui perspektif luar, bukan melalui pengalaman sejarah dan budaya sendiri.

Fenomena ini boleh dilihat sebagai satu bentuk hegemoni pengetahuan global di mana sistem ilmu tertentu dianggap universal dan neutral sedangkan ia sebenarnya lahir daripada konteks sejarah yang spesifik.

Dalam keadaan ini, konsep, teori dan istilah yang digunakan dalam dunia akademik sering datang daripada pengalaman barat tetapi digunakan secara global tanpa penyesuaian yang mendalam.

Dalam bidang media dan komunikasi, perkara ini menjadi lebih ketara. Istilah seperti “demokrasi”, “kebebasan media”, “wacana”, ‘teknologi”, “mesej” dan “khalayak” sering digunakan sebagai standard universal untuk menilai semua masyarakat.

Namun tanpa refleksi kritikal, penggunaan istilah ini boleh menyebabkan realiti tempatan dilihat sebagai “kurang” atau “menyimpang” daripada norma yang ditetapkan oleh pengalaman Barat.

Di sinilah peranan bahasa dan simbol menjadi penting melalui pendekatan semiotik media. Cara sesuatu isu dilaporkan bukan sekadar bergantung kepada fakta sebaliknya juga kepada istilah dan kerangka bahasa yang digunakan.

Sebagai contoh, istilah geografi seperti “Middle East” mencerminkan sudut pandang Eropah terhadap dunia sedangkan dari perspektif Asia, wilayah tersebut lebih tepat digambarkan sebagai Asia Barat. Perbezaan istilah ini menunjukkan bahawa bahasa bukan neutral, tetapi membawa sejarah dan kuasa di dalamnya.

Dalam konteks yang lebih luas, media global juga membentuk apa yang boleh disebut sebagai geonaratif iaitu cara dunia “diceritakan” melalui perspektif geopolitik tertentu.

Naratif antarabangsa sering dibentuk oleh pusat media utama di barat menyebabkan banyak peristiwa global difahami melalui sudut pandang yang sama. Apabila media tempatan hanya mengulangi kerangka ini tanpa analisis sendiri, ia secara tidak langsung memperkukuh dominasi naratif tersebut.

Dalam bidang sains sosial, pengaruh teori Barat juga sangat besar, termasuk pendekatan yang berkembang daripada tradisi Marxis dan aliran Critical Studies.

Pemikiran Karl Marx memberi asas kepada analisis hubungan antara kuasa, ekonomi dan masyarakat yang kemudiannya dikembangkan oleh tokoh seperti Antonio Gramsci melalui konsep hegemoni budaya, serta Stuart Hall dalam kajian budaya moden atau cultural studies.

Pendekatan ini menjadi sebahagian daripada silibus komunikasi dan media di banyak universiti kerana ia membantu memahami hubungan antara media, kuasa dan ideologi.

Namun ia tetap lahir daripada konteks sejarah Barat dan apabila digunakan dalam konteks Malaysia, ia perlu disertai dengan kesedaran kritikal agar tidak menenggelamkan pengalaman tempatan dalam kerangka teori luar.

Perkara ini menjadi lebih penting apabila dilihat hubungan antara universiti dan dunia media. Wartawan, pengamal komunikasi dan penganalisis sering dibentuk oleh latihan akademik yang mereka terima di universiti.

Oleh itu jika silibus terlalu bergantung kepada satu tradisi pemikiran maka cara media membingkai dunia juga akan cenderung mengikut kerangka yang sama.

Oleh sebab itu, cadangan untuk menilai semula silibus pendidikan tinggi termasuk memperkenalkan kursus sejarah kolonialisme dilihat sebagai langkah penting. Kursus ini bukan bertujuan menolak ilmu Barat lebih dalam lagi  untuk memberi pemahaman tentang bagaimana struktur pengetahuan moden terbentuk melalui sejarah kolonial dan perkembangan global.

Dengan pemahaman ini, pelajar dapat melihat bahawa ilmu bukan sesuatu yang neutral atau bebas nilai bahkan lebih jauh lagi dibentuk melalui proses sejarah yang kompleks.

Kesedaran ini membolehkan mereka menilai teori, konsep dan naratif dengan lebih kritikal bukan sekadar menerima sebagai kebenaran mutlak.

Pada masa yang sama, universiti perlu berfungsi sebagai ruang dialog intelektual yang lebih seimbang di mana tradisi ilmu global dan pengalaman tempatan boleh bertemu secara kritikal.

Ini termasuk usaha memperkukuh kajian mengenai sejarah Nusantara, pemikiran serantau serta tradisi intelektual tempatan yang sering kurang diberi perhatian dalam wacana akademik arus perdana.

Akhirnya perbincangan ini membawa kepada persoalan kedaulatan intelektual, iaitu keupayaan sesebuah masyarakat untuk memahami dunia melalui kerangka pemikirannya sendiri tanpa menolak sumbangan ilmu luar.

Kedaulatan intelektual bukan bermaksud pengasingan daripada dunia, tetapi keupayaan untuk berdialog secara setara dalam ruang ilmu global.

Dengan memperkukuh kesedaran tentang pandangan dunia dalam pendidikan, menilai semula dominasi teori tertentu, serta membuka ruang kepada perspektif tempatan dalam silibus universiti, Malaysia berpotensi membina satu sistem pendidikan tinggi yang lebih seimbang, kritikal dan berakar pada realiti sejarah serta budaya sendiri.

Oleh Ismail Hashim Yahaya. Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Malaysia Refleksi ‘Animal Farm’ Moden? Bah 3

Barangkali analogi paling pedih daripada ‘Animal Farm’ ialah ungkapan: semua haiwan adalah sama, tetapi ada yang lebih sama daripada yang lain. Dalam konteks moden, ia seolah-olah diterjemahkan menjadi: semua rakyat sama di sisi undang-undang, tetapi ada yang lebih kebal daripada yang lain. Di sinilah letaknya ironi – dan juga tragedi – dalam banyak sistem politik hari ini.
Read More
Total
0
Share