Kekecohan Gegar PAT: Muhyiddin Dedah Komplot, Perwakilan Jerit “Letak Jawatan!”

SHAH ALAM, 6 Sep 25 – Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu malam tadi bertukar panas apabila Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tiba-tiba mendedahkan wujud usaha dalaman untuk menjatuhkannya melalui kutipan tandatangan.

Pendedahan itu mencetuskan suasana tidak terkawal di dewan persidangan apabila beberapa perwakilan bangkit menjerit “Letak jawatan! Letak jawatan!” ketika beliau sedang berucap. Keadaan menjadi kecoh sehingga pegawai keselamatan terpaksa menenangkan keadaan.

Muhyiddin dengan wajah serius menegaskan, tindakan mengumpul tandatangan untuk menyingkir presiden bercanggah dengan perlembagaan parti dan jika dibenarkan, semua pemimpin akan terdedah kepada ancaman sama.

“Kalau presiden boleh dijatuhkan dengan tandatangan, maka siapa pun dalam parti boleh menjadi mangsa. Ini bukan budaya kita,” katanya dengan nada tegas.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut memberi amaran bahawa Bersatu berisiko rebah jika dibiarkan berpecah belah. Beliau menyeru penyatuan seluruh ahli untuk menghadapi pilihan raya mendatang.

Namun, kemelut dalaman semakin jelas apabila muncul surat layang yang mendakwa Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, terlibat dalam konspirasi untuk menyingkirkan Muhyiddin. Surat itu dikatakan berlegar dalam kumpulan WhatsApp, termasuk nombor asing dari Thailand.

Muhyiddin menafikan wujud kem dalaman dalam Bersatu, sambil menegaskan beliau akan mendapatkan maklumat lanjut sebelum mengambil tindakan.

Pemerhati berpendapat bahawa tindakan Muhyiddin membuat dakwaan terbuka tanpa menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu, seolah sengaja mencetuskan provokasi dan menjadikan suasana hilang kawalan.

Kekecohan malam tadi menjadi tanda jelas bahawa konflik kepimpinan dalam Bersatu sedang memuncak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share