
JEMPOL | 19 Julai 26 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi ujian paling penting terhadap keberkesanan kerjasama pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), dengan keputusan yang dicapai dijangka menentukan hala tuju kerjasama kedua-dua gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, landskap politik negara sentiasa berubah dan sebarang keputusan untuk memperluaskan kerjasama ke negeri lain hanya akan diputuskan selepas melihat prestasi kedua-dua pihak di Negeri Sembilan.
“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan terlebih dahulu. Oleh kerana politik ini adalah sangat dinamik,” katanya kepada media selepas program Gema@KKDW 2026 peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8.
Menurut beliau, keputusan PRN itu akan menjadi kayu ukur sama ada model persefahaman yang digunakan ketika ini wajar diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta pilihan raya akan datang.
Katanya, kerjasama yang berlangsung di Negeri Sembilan ketika ini bukanlah satu gabungan rasmi, sebaliknya hanya persefahaman bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri di kawasan tertentu.
“Mudah-mudahan ia akan menjadi (model) satu jajaran baharu,” katanya.
Beliau turut berharap persefahaman tersebut bukan sahaja diterjemahkan oleh jentera parti, malah mendapat sokongan pengundi kedua-dua gabungan bagi memastikan strategi itu membuahkan kemenangan pada pilihan raya kali ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.