Kelantan Perlu Enakmen Keras Tangani Gejala Songsang, Kata Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR, 17 Jul 25 – Kelantan wajar merangka undang-undang lebih keras dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi membasmi gejala songsang yang mencemar imej negeri Serambi Mekah, kata Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kerajaan negeri juga katanya wajar diberikan ruang untuk merangka undang-undang menyekat gejala seperti itu daripada terus menular.

“Kerajaan Kelantan juga wajar diberikan lebih ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala ini tanpa sebarang sekatan.

“Justeru, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dalam satu hantaran Facebook.

Beliau turut menggunakan contoh sebelum ini ketika Mahkamah Persekutuan pada 25 Feb 2021 telah membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak berkuasa kerana menyerbu pesta gay di Kelantan baru-baru ini.

“Kejadian ini sememangnya memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di Kelantan – negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.

“Namun, yang lebih penting daripada rasa malu itu ialah keberanian untuk membasmi kemungkaran. Ubat memang pahit, tetapi selagi penyakit masih bersarang, kita wajib memaksa diri untuk menelannya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, perjumpaan kumpulan gay di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 gay diserbu pihak polis.

Serbuan yang dilakukan jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV hasil risikan dan maklumat awam.

Atas kejayaan serbuan itu, kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan atas tindakan pantas polis menggagalkan perjumpaan maksiat membabitkan kumpulan gay di bandar ini.

Timbalan Menteri Besar (MB), Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, dilaporkan berkata usaha ini mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share