
KUALA LUMPUR, 6 NOV 25 — Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM 500 kepada semua penjawat awam negeri berstatus gred 15 ke bawah sebagai penghargaan atas khidmat mereka, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM 4.97 juta.
Ketika mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bayaran bantuan tersebut dijadualkan dibuat pada awal Mac tahun depan bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri oleh penerima.
Beliau juga mengumumkan bahawa pemberian itu akan turut dilanjutkan kepada lantikan politik kerajaan negeri, dengan kadar pemberian yang akan ditentukan kemudian.
Selain itu, kerajaan negeri turut menawarkan diskaun sebanyak 90 peratus ke atas tunggakan denda cukai tanah kepada semua rakyat Kelantan, untuk tempoh satu bulan dari 1 hingga 30 Disember ini, tertakluk kepada kaedah seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Negeri.
Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan negeri untuk meringankan beban penjawat awam dan orang ramai di tengah cabaran ekonomi kini, serta sebagai isyarat sokongan kepada kakitangan kerajaan negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.