Kelatahan PH: “Adakah Mereka Sebenarnya Ada Kaitan?” – Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR | 7 Sep 26 – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai usaha campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam politik Malaysia sebelum 2018.

Persoalan itu timbul selepas tiga pimpinan PKR Bandar Tun Razak membuat laporan polis pada 6 September berhubung dakwaan Abdul Hadi bahawa AS pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.

Tiga individu berkenaan ialah Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, V Jonathan; Ketua Wanita PKR cabang itu, Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak, Amarul Hisham Jalil.

Laporan dibuat di Balai Polis Cheras, dengan Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohd Rosdi Daud mengesahkan laporan diterima kira-kira jam 5 petang sebelum dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Mengulas perkembangan itu, Fadhli berkata dakwaan Abdul Hadi adalah berhubung AS dan tidak pernah mengaitkan mana-mana pihak daripada PH.

“Tan Sri Presiden PAS mendakwa Amerika Syarikat ada usaha untuk campur tangan jatuhkan kerajaan Malaysia sebelum tahun 2018.

“Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menafikan perkara ini. Ada kaedah undang-undang untuk selesaikan pertikaian antara dua pihak terlibat ini iaitu saman sivil,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Fadhli kemudian mempersoalkan mengapa PH dilihat memberi reaksi terhadap isu berkenaan sehingga membuat laporan polis.

“Apa yang menghairankan kenapa tiba-tiba Pakatan Harapan melatah? Apa kepentingan mereka dalam isu ini?

“Kenapa tiba-tiba melatah dan buat laporan polis? Adakah Presiden PAS mengaitkan mana-mana pihak dari Pakatan Harapan dalam isu ini? Tidak sekali-kali,” katanya.

Beliau kemudian mengemukakan persoalan sama ada tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan kepentingan tertentu.

“Jadi, kenapa mereka melatah? Atau mereka sebenarnya yang ada kaitan?” soalnya.

Kontroversi itu tercetus selepas Abdul Hadi mendakwa AS pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak pada 2014.

Kedutaan AS bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan. Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H. Gamble Jr menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia dan menyifatkan dakwaan sebaliknya sebagai palsu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik PAS ketika itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan memang berlaku pertemuan dengan wakil Kedutaan AS, namun menjelaskan bahawa pihak AS bertanya sama ada PAS merancang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, dan PAS tidak memberikan sebarang keputusan mengenai perkara itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share