
KUALA LUMPUR, 12 Jun 25 – Gerakan mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding terus menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau meluaskan skop penggunaannya, yang hanya akan membebankan rakyat.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, data yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa kutipan hasil tahunan SST sehingga akhir 2023 adalah 51.6% lebih rendah berbanding GST.
Oleh itu, katanya, sudah tiba masa kerajaan menilai semula keberkesanan SST dan mempertimbang semula pelaksanaan GST demi kestabilan fiskal negara.
“Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan kadar SST atau meluaskan skop cukai tanpa had. Ini bukan sahaja gagal menyelesaikan punca sebenar masalah, malah tidak membantu menambah baik kedudukan kewangan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Menurut Dominic, semasa SST diperkenalkan, kerajaan mendakwa sistem tersebut mampu menstabilkan harga barangan, namun realitinya harga tidak menjadi lebih murah.
Kini, katanya, tekanan kos semakin meningkat dan pengguna dijangka akan menerima kesannya dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang apabila syarikat-syarikat tidak lagi mampu menyerap beban kos operasi.
Beliau menambah keyakinan pengguna kini berada pada tahap yang rendah, dan sektor barangan pengguna bakal berdepan tekanan terhadap margin keuntungan sekaligus memberi kesan langsung terhadap perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan sektor penggunaan negara.
Gerakan turut menyokong Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar kerajaan menilai semula syarat ambang kelayakan bagi kategori PKS agar had perolehan tahunan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta atau RM2 juta bagi mengurangkan beban cukai terhadap sektor tersebut.
Katanya lagi, cukai terhadap makanan import dan peralatan mesin akan menaikkan kos operasi bagi PKS, sekaligus menjejaskan daya saing mereka di pasaran serantau.
Dominic turut mendakwa ekonomi di bawah kerajaan perpaduan yang didakwanya masih gagal dipulihkan dengan banyak pengumuman pelaburan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi ke luar negara gagal menjadi kenyataan, manakala hutang negara terus meningkat tanpa pertumbuhan pendapatan negara yang kukuh.
“Sepanjang lebih dua tahun mentadbir, kerajaan hanya dilihat menekan rakyat dengan pelarasan cukai, tetapi tiada penyelesaian tuntas terhadap kos sara hidup dan hutang negara yang terus membengkak,” ujarnya.
Beliau menegaskan, apa jua pelarasan terhadap sistem cukai harus diteliti secara menyeluruh dengan mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap rakyat dan ekonomi negara. @politiko.my