Kemenangan BN Dengan Sokongan PAS-Wawasan Mampu Ubah Pendirian UMNO – Penganalisis

KUALA LUMPUR | 8 Julai 26 – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan sokongan PAS dan Parti Wawasan Negara berpotensi mengubah pendirian UMNO terhadap usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, ketika ini PAS terus menunjukkan kesungguhan untuk menghidupkan semula kerjasama dengan UMNO walaupun kepimpinan parti itu sebelum ini menyatakan Muafakat Nasional telah “ditutup buku”.

Menurut beliau, tindakan PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) yang tidak bertanding di 23 kerusi ditandingi BN serta menyatakan sokongan kepada calon BN merupakan satu usaha yang boleh membuka semula ruang kerjasama antara kedua-dua parti.

“Apabila PAS melalui Perikatan Nasional ini tidak bertanding di 23 kerusi yang ditandingi oleh Barisan Nasional dan menyatakan akan menyokong Barisan Nasional, itu adalah satu usaha yang akan boleh menarik UMNO untuk bersama dalam cadangan Muafakat Nasional ini,” katanya.

Mazlan bagaimanapun berkata, segala-galanya bergantung kepada keputusan PRN Johor.

“Jika Barisan Nasional menang besar dan ternyata bahawa kemenangan itu adalah hasil sokongan PAS dan juga Wawasan, saya fikir UMNO akan mengkaji semula dan mungkin boleh menerima konsep Muafakat Nasional ini.” Katanya

Beliau berkata, persaingan sengit antara Pakatan Harapan (PH) dan BN menjadikan keputusan pilihan raya kali ini cukup penting dalam menentukan hala tuju kerjasama politik selepas pilihan raya.

“Saya fikir agak tergantung kepada keputusan di Johor sekarang. Sebab kita nampak sekarang ini persaingan antara PH dan BN sekarang ini sangat sengit.”

Menurut beliau, perkembangan politik semasa turut membuka ruang kepada perubahan pendirian semua pihak.

“Saya jangkakan Muafakat Nasional ini ada satu gagasan yang boleh dibincang pada masa depan… Walaupun sebelum ini tak setuju, kemungkinan setuju, kita tak pastikan, ada kemungkinan akan berlaku.”

Mazlan turut menyifatkan usaha PAS dan Parti Wawasan Negara sebagai satu pendekatan yang boleh membantu meyakinkan UMNO untuk mempertimbangkan semula kerjasama tersebut.

“Yang penting adalah hasrat PAS dan Wawasan itu adalah hasrat yang ikhlas… Yang boleh memberi, meyakinkan UMNO.”

Beliau bagaimanapun mengakui UMNO masih dibayangi pengalaman lalu dalam hubungannya dengan PAS, namun menegaskan politik sentiasa bersifat dinamik.

“Politik ini tidak mustahil. Apa-apa boleh berlaku,” katanya.

PAS baru-baru ini, secara rasmi mengarahkan ahli dan penyokongnya untuk mengundi BN dikawasan yang tidak ditandingi oleh PN. Perkembangan tersebut dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan barisan parti berasaskan Melayu Islam dalam berhadapan dengan PH. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share