
KUALA LUMPUR, 19 Apr 25 – Lebih 100 ahli MCA termasuk kepimpinan peringkat cawangan di Kluang secara rasmi menyertai BERSATU sebagai Ahli Bersekutu parti tersebut.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Tan Lek Khang berkata, penyertaan beramai-ramai secara kolektif itu melibatkan tiga cawangan MCA di daerah Kluang.
Tambah Tan, perkembangan tersebut mencerminkan hilangnya keyakinan ahli akar umbi terhadap kepimpinan MCA dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.
“Mereka telah memilih untuk bersama Bersatu kerana yakin dengan perjuangan parti yang lebih inklusif, progresif dan berteraskan prinsip integriti serta pembelaan terhadap semua lapisan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yakin gelombang sokongan itu akan berterusan dan Ahli Bersekutu akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Bersatu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.
Sebelum ini, bekas setiausaha agung Pemuda MCA Leong Kim Soon dan lebih 100 ahli MCA Bentong telah keluar parti untuk menyertai BERSATU. @sumber