Kenyataan “Rayuan” 40% Hasil Sabah Mengelirukan, AGC Patut Nasihat Kerajaan, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 19 NOV 25 – Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hasrat kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam isu 40% hasil Sabah sebagai satu perkara yang mengelirukan dari sudut undang-undang.

Menurut beliau, rayuan hanya boleh difailkan terhadap keputusan mahkamah, bukannya alasan penghakiman.

Sebaliknya, jelas Haniff Khatri, tindakan yang sepatutnya diambil kerajaan adalah memohon pembatalan (expungement) terhadap mana-mana bahagian alasan penghakiman yang dirasakan tidak wajar.

“Ada prinsip undang-undang dalam kes Fawziah Holdings Sdn Bhd lwn Metramac Corporation Sdn Bhd, di mana alasan penghakiman menyentuh individu tidak berkaitan. Kedua-dua pihak memohon untuk mencelah serta memohon bahagian yang menyentuh mereka dipadam,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tambah Haniff, prosedur yang sama boleh diguna pakai bagi isu berhubung tuntutan Sabah terhadap kadar 40% hasil yang tertera dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dalam kes ini, istilah merayu tidak sesuai digunakan,” tegasnya.

Haniff berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menasihati kerajaan dengan lebih tepat bagi mengelakkan kekeliruan berhubung proses undang-undang.

Pada 27 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan undang-undang untuk membayar semula 40% hasil bersih yang dikutip dari Sabah berdasarkan Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh NGO Amanah Warisan Negara Sabah (AWAS).

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan AWAS untuk memaksa kerajaan menetapkan semula kadar tersebut dengan serta-merta, dan kerajaan Persekutuan diberi ruang untuk meneruskan rundingan menerusi mekanisme yang dipersetujui dalam MA63. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share