Kerajaan Banyak Cakap, Kurang Buat — Mohd Zai Dakwa Rakyat Tunggu Pilihan Raya

KUALA LUMPUR | 13 Sep 26 – Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa mendakwa rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan MADANI dan kini menunggu pilihan raya bagi mengubah kerajaan yang ada.

Menurutnya, sentimen itu bukan sahaja datang daripada orang Melayu dan Islam, malah turut dirasai masyarakat bukan Melayu serta golongan perniagaan yang bergantung kepada kestabilan ekonomi.

“Kerajaan ini kerjaan yang banyak cakap tapi kurang buat,” katanya dalam podcast Politikopi membincangkan ‘Hala Tuju Politik Malaysia’, baru-baru ini.

Mohd Zai berkata, beliau sendiri mengambil contoh pandangan seorang ahli perniagaan Cina yang merupakan sebahagian daripada pertubuhan perniagaan Cina di Malaysia.

Katanya, golongan perniagaan tidak melihat retorik semata-mata, sebaliknya menilai kerajaan berdasarkan hasil dan keadaan ekonomi.

“Kita tak suka pemimpin yang banyak cakap tapi tak ada buat. Cakap saja, bikinlah,” katanya memetik pandangan ahli perniagaan berkenaan.

Menurut Mohd Zai, keadaan ekonomi yang semakin merosot akan memberi kesan kepada keyakinan golongan perniagaan terhadap kerajaan apabila perniagaan merosot, kewangan terjejas dan nilai aset semakin susut.

Dalam masa sama, beliau berkata isu pendidikan turut menjadi kebimbangan khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu, Islam dan India yang mahu meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan.

“Orang Melayu, orang Islam dalam negara ini nak melonjakkan mereka itu kepada satu status ataupun kedudukan yang lebih baik, mesti dengan pendidikan. Itu saja,” katanya.

Beliau turut mendakwa masyarakat India berdepan cabaran dari sudut pendidikan dan ekonomi serta memerlukan peluang pendidikan yang lebih baik untuk mengubah kedudukan diri dan keluarga.

Mohd Zai berkata, jika peluang untuk meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan semakin terbatas, keadaan itu akhirnya boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Mengulas alternatif kepada keadaan tersebut, beliau berkata terdapat dua kemungkinan iaitu kerajaan sedia ada melakukan perubahan ke arah lebih baik atau rakyat memilih kerajaan baharu yang mengembalikan dan memperkasakan semula dasar-dasar yang dianggap berkesan sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohd Zai mendakwa rakyat ketika ini lebih tertumpu kepada pilihan raya dan sudah tidak sabar untuk melakukan perubahan terhadap kerajaan.

“Saya kira kebanyakan rakyat, semua pihak hari ini mereka tunggu bila nak pilihan raya. Mereka dah tak sabar-sabar nak ubah kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau mendakwa sentimen itu turut melibatkan orang Melayu yang merupakan majoriti serta masyarakat bukan Melayu, khususnya golongan yang terlibat dalam perniagaan dan ekonomi.

“Mereka dah tak boleh tahan lagi keadaan yang ada hari ini,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share