Timbalan Presiden PAS: Pilihan Raya Perlu Disegerakan, Mandat Dikembalikan Kepada Rakyat

KOTA BHARU | 3 Sep 26 – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan pilihan raya perlu disegerakan bagi membolehkan mandat baharu dikembalikan kepada rakyat dan menamatkan kemelut politik yang berpanjangan.

Menurut beliau, keadaan politik yang tidak menentu ketika ini perlu diselesaikan dengan memberikan ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan menerusi pilihan raya.

“Saya melihat ada keperluan untuk pilihan raya diadakan lebih awal. Saya bersetuju bahawa dalam situasi dan keadaan yang tidak menentu begini, kita kena keluar daripada kemelut yang ada. Mandat perlu diberi semula kepada rakyat untuk membuat pilihan,” katanya ketika sidang media selepas Muktamar Pemuda.

Beliau turut mencadangkan supaya pilihan raya negeri yang berlangsung secara berperingkat dapat diselaraskan bagi mengurangkan kos serta mengelakkan tempoh berkempen dan berpolitik berpanjangan.

Katanya, selepas Melaka, Sarawak juga akan berdepan pilihan raya negeri, sekali gus menyebabkan kos yang besar perlu ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau boleh disegerakan, lebih awal lebih baik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata penyelarasan pilihan raya secara serentak bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah membolehkan rakyat memberi tumpuan kepada isu lain yang lebih penting.

Menurutnya, keadaan politik yang berlarutan menyebabkan rakyat terpaksa memikirkan soal politik sepanjang masa sehingga menjejaskan perhatian terhadap perkara lain.

Menyentuh kemungkinan kerjasama politik di Melaka, beliau berkata ruang perundingan masih terbuka bagi mengelakkan pertembungan antara parti.

Tuan Ibrahim juga berkata jawatankuasa perunding yang dibentuk akan diberi ruang untuk menentukan mekanisme terbaik, termasuk mengambil kira prinsip bahawa kerusi penyandang dikekalkan kepada parti yang memenanginya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat negeri tertentu seperti Kedah dan Perlis yang memerlukan pendekatan berbeza kerana UMNO tidak mempunyai kerusi kemenangan di negeri berkenaan.

“Yang penting ialah muafakat. Kalau semua pihak bersetuju, kita akan ada jalan. Di mana ada usaha dan kesepakatan, insya-Allah ada jalannya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha meminimumkan pertembungan dalam pilihan raya perlu menjadi keutamaan bagi memastikan pertandingan politik tidak terus memanjangkan kemelut sedia ada.

Katanya, sudah lebih setahun rakyat berhadapan dengan situasi politik yang tidak menentu dan keadaan itu menyebabkan rakyat semakin letih.

“Keutamaan bukan soal kelebihan yang ada, tetapi kita perlu keluar daripada kemelut ini. Kalau tidak, ia akan berpanjangan. Sudah setahun lebih kita berhadapan dengan situasi seperti ini. Saya rasa rakyat sudah letih dengan keadaan ini,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share