
SEREMBAN | 30 Julai 2026 – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mat Alwi Che Ahmad menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai nikmat yang direstui rakyat serta memberi amaran agar kerjasama itu tidak lagi digugat oleh perpecahan dalaman.
Berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, Mat Alwi berkata kerjasama yang terbentuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sahaja disukai penyokong kedua-dua gabungan, malah diterima sebahagian besar rakyat.
“Yakinlah tuan-tuan, penyatuan ini sebenarnya direstui, disukai dan disukai oleh seluruh rakyat Malaysia. Yang tak suka ini sebenarnya yang koyak sahaja,” katanya.
Beliau mengibaratkan pilihan raya seperti kejohanan sukan yang sepatutnya diraikan secara matang tanpa emosi melampau apabila kalah atau menang.
“Pilihan raya ini macam sukan rumah-rumah sahaja. Lepas pertandingan ada yang menang, ada yang kalah. Yang nak koyak pergi marah orang pasal apa? Nak maki rakyat, maki Menteri Besar, maki apa benda?” katanya.
Menggunakan analogi pertandingan sukan, Mat Alwi berkata BN dan PN telah memilih untuk membahagikan kerusi mengikut kekuatan masing-masing demi mencapai kemenangan bersama, bukannya bersaing sesama sendiri.
Katanya, daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Negeri Sembilan, BN mengambil sebahagian kerusi manakala bakinya diserahkan kepada rakan gabungan.
“Hijau sudah jadi biru. Jadi sekarang yang berlaga hanyalah biru lawan merah,” katanya sambil merujuk kepada pertandingan antara BN-BN (biru) menetang PH-BERSATU (merah).
Beliau berkata penyatuan itu lahir daripada kesedaran bahawa orang Melayu dan Bumiputera tidak lagi mampu berpecah jika mahu membentuk kerajaan yang stabil pada masa hadapan.
“Kita orang Melayu dan orang Islam peribumi negara ini sudah tidak boleh berpecah lagi. Kita telah lalui episod ini, bukan baru, sudah lama,” katanya.
Dalam ucapannya, Mat Alwi turut memetik ayat al-Quran daripada Surah Fussilat mengenai kepentingan istiqamah dalam perjuangan, sambil mengingatkan semua pemimpin supaya kekal bersatu walaupun berdepan pelbagai cubaan.
“Mesti istiqamah. Jangan bergaduh lagi. Kita akan digoda, kita akan dibisik hari-hari supaya kita terus bergaduh agar penyatuan ini berkecai dan kita kalah,” katanya.
Menurut beliau, pihak yang paling bimbang terhadap kerjasama BN dan PN ialah lawan politik yang melihat penyatuan itu mampu mengubah landskap politik negara.
“Yang takut itu, yang panik itu, yang koyak itu sebab dia tahu sekiranya kita duduk dalam keadaan ini, istiqamah berkekalan, insya-Allah bukan sahaja Negeri Sembilan, bukan sahaja Melaka, negara ini pun kita akan perintah tidak lama lagi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan matlamat perjuangan gabungan tersebut bukan sekadar untuk mendapatkan kuasa politik, sebaliknya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Bukan untuk kita. Ianya untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.
Mengakhiri ucapan, Mat Alwi menyeru seluruh kepimpinan BN dan PN supaya mempertahankan kerjasama yang telah dibina serta tidak lagi membiarkan perpecahan berlaku.
“Nasihat saya kepada semua pemimpin dan penyokong, kita tidak akan izinkan mereka bergaduh lagi, insya-Allah,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.